Doa untuk Lim Guan Eng

APA KATA UTUSAN MALAYSIA.

Doakan kesejahteraan bukan Islam haram: Mufti

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan S Anand Kumar: 2010/08/22

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan hukum orang Islam mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan untuk orang bukan Islam adalah haram apatah lagi apabila ia dibaca di dalam khutbah Jumaat.

Katanya, perbuatan mendoakan supaya orang kafir memeluk Islam amat digalakkan agama Islam namun menggunakan pentas khutbah Jumaat untuk berdoa seperti itu dilarang agama.

Click Here

“Mendoakan supaya orang kafir mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan adalah haram di sisi Islam. Berdoa mengharapkan orang kafir menerima dan memeluk Islam tidak salah tetapi tidak kena pada tempatnya jika dibaca dalam khutbah Jumaat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Moin Ismail, 70, antara ratusan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Menora, Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 25 Jun lalu mendakwa khatib mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta rakannya dalam kerajaan negeri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengarahkan polis dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menyiasat dakwaan berkenaan bagi mengenal pasti sama ada tindakan terbabit dibuat atas arahan pihak tertentu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi pula, berkata perbuatan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bertujuan menghina Raja selaku penaung agama Islam di negara ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah, berkata khutbah Jumaat tidak seharusnya digunakan untuk kepentingan politik kerana ia akan menimbulkan kemarahan di kalangan orang Islam.

“Saya amat terkejut membaca laporan akhbar beberapa masjid di Pulau Pinang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS menyokong penuh satu siasatan dilakukan bagi membuktikan laporan nama Guan Eng digunakan di dalam khutbah di Pulau Pinang.

APA KATA DETIKDAILY.

Asri: Jangan politikkan isu khutbah, tak salah doa pemimpin sejahtera

Oleh G Manimaran: August 22, 2010

Asri: Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tidak mempolitikkan isu membaca doa membabitkan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa khutbah sehingga boleh mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat.

Sambil menegaskan beliau tidak pasti bentuk doa yang telah dibacakan sebagaimana didakwa oleh Umno Pulau Pinang, bekas mufti Perlis kelahiran Pulau Pinang itu menganggap membacakan kesejahteraan Lim selaku Ketua Menteri atau seabgai ketua kerajaan negeri adalah perkara kecil.

“Jangan mempolitikkan isu ini, saya katakan perkara ini kepada Pakatan dan juga BN, jangan mempolitikkan,” kata beliau.

Asri menambah, parti-parti politik perlu ada semangat “negarawan” tanpa melihat sesuatu isu itu dalam skop yang terbatas atau kerangka politik semata-mata atau kepentingan kelompok tertentu.

“Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak… kita (sebenarnya) ada banyak perkara besar untuk dilakukan bagi rakyat negara ini… isu ini (membaca doa kesejahteraan) bukanlah besar sangat pun,” kata beliau yang pulang ke tanah air dari Mekah kelmarin.

“Saya tidak tahu apakah doa yang dibacakan, kita kena melihat pada kandungan doa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam sambil menjelaskan, doa jatuh dalam empat kategori.

Doa pertama menurut beliau, meminta seseorang pemimpin diberikan petunjuk atau hidayah manakala yang kedua berharap agar seseorang pemimpin itu bersikap adil atau bersimpati dengan nasib rakyat.

“Doa ini boleh dibacakan ke atas pemimpin sama ada mereka itu Islam atau bukan Islam,” katanya.

“Dua doa yang lain ialah kita mendoakan kesejahteraan seseorang pemimpin itu walaupun dia berlaku tidak adil, seolah-olah kita bersetuju dengan kezaliman dia, dan satu lagi ialah berdoa memuji kepimpinan, seolah-olah doa penghias kepimpinan… kedua-dua ini tidak boleh dilakukan,” katanya.

Asri juga membangkitkan persoalan mengapa isu doa dijadikan sebagai satu isu besar sekarang sedangkan ada parti-parti politik yang pernah berdoa agar membawa kemenangan seseorang calon bukan Islam yang diletakkan dalam pilihan raya.

Katanya, jika doa kemenangan dibolehkkan ke atas calon bukan Islam, mengapa doa kesejahteraan pemimpin bukan Islam tidak boleh demi menunjukkan hidayah atau petunjuk dan agar berlaku adil kepada rakyat.

“Saya tidak mahu menyebut parti mana yang berbuat demikian, tetapi jangan mempolitikkan isu doa sekarang… pernah ada parti yang membacakan doa agar membawa kemenangan kepada calon mereka yang bukan Islam, mengapa dulu boleh tetapi sekarang tidak boleh, jadi ada doa yang boleh dan ada doa yang tidak boleh… doa untuk kebaikan kita boleh lakukan,” katanya.

Catatan blogger: Dr. Asri merujuk kepada Majlis bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk kemenangan calon BN di Pilihanraya Kecil P,094 Hulu Selangor untuk kemenangan calon MIC Manoharan.

Doa Untuk Bukan Muslim: Bicara Harmoni Buat S.S Mufti Perak

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin: Posted on Tuesday, August 24 @ 05:25:17 PDT by paktam

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;

1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.

7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:

“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:

“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Bukan Kerana Agung, Tetapi Kerana Lim

Oleh Zolkharnain Abidin: Posted on Saturday, August 21 @ 08:06:24 PDT by tokdalang

Berdasarkan beberapa sumber, nama Lim Guan Eng memang disebut dalam khutbah Jumaat di masjid tertentu di Pulau Pinang. Walau pun ada pihak yang menafikannya, tetapi penafian itu tidak berfakta berbanding pihak yang mengiakannya.

Nama Lim disebut kerana mendoakannya supaya mendapat petunjuk. Tentulah Khatib itu orang PAS.

Mengapa Umno terkejut dengan doa ini? Kerana, pemimpin Umno termasuk Zahid tidak pernah mendengar khatib Umno mendoakan Koh Tsu Koon semasa beliau menjadi KM dulu.

Sama macam orang DAP baca ayat al-Quran dalam ceramah. Pemimpin Umno bising macam nak meletup dunia. Puncanya kerana pemimpin Umno tidak pernah mendengar pemimpin MCA dan MIC melakukannya.

Bagi sebahagian pemimpin Umno, apa yang mereka tidak lakukan sebelum ini, apabila dilakukan oleh orang lain, itu adalah salah.

Zahid gunakan hujah khatib tidak menyebut nama SPB YDP Agung. Rasanya, ini cuma ‘alasan’ untuk menyalahkan sebutan nama Lim sahaja.

Berlambak khatib yang tidak menyebut nama SBP YDP Agong, tidak pula dibisingkan sebagai salah oleh pemimpin Umno. Khatib Umno juga turut melakukan begitu, tidak bising pun.

Maknanya tidak menyebut SBP YDP Agong tidak penting sangat bagi pemimpin Umno, tetapi menyebut nama Lim itu yang salah.

Betul, secara etikanya, tidak menyebut nama SBP YDP Agung dalam khutbah adalah salah. Tetapi itu tidak menjadi salah jika tidak disebut nama Lim. Masalahnya ialah menyebut nama Lim, bukan tidak menyebut nama SBP YDP Agong.

Bagaimana kalau ada khatib yang tidak menyebut nama SBP YDP Agong, tetapi disebut nama Najib pula, adakah itu dikira salah juga?

Secara tidak langsung, doa untuk SBP YDP Agong memang wujud dalam doa untuk semua orang Islam. Tidak dikhususkan sebutan namanya bukan bermakna tidak ada doa untuknya.

Sementara mendoakan orang orang bukan Islam supaya menerima hidayah memang dibenarkan. Nabi pernah mendoakan salah seorang daripada dua Umar agar mendapat hidayah untuk mengukuhkan kedudukan Islam.

Apa kata ulama muda Umno mengenai perkara ini?

Ulamak Umno Kena Ajar Pemimpin Mereka Bab Doa

Oleh Angkasanuri: Posted on Saturday, August 21 @ 19:28:00 PDT by tokdalang

Riuh rendah dan gegak gempita betul canang pemimpin Umno isu doa di Pulau Pinang. Al kisahnya ada beberapa khatib yang membaca khutbah mendoakan Lim Guan Eng agar diberi hidayah memeluk Islam. Isunya telah dipusingkan 360 darjah, bukan lagi isu mendoakan bukan Islam agar diberi hidayah tetapi puak-puak Umno main isu seolah-olah ada arahan dari kerajaan negeri yang diterajui DAP agar buang nama DYMM Agonng digantikan dengan nama pemimpin DAP.

PM dan TPM juga tumpang semangkuk meminta satu siasatan dijalankan kerana katanya perbuatan tersebut serius, melampau dan tidak boleh diterima. Kata suruh siasat tapi awal-awal lagi dah jatuh hukuman…

Tak payah nak sembunyi 1Malaysia tahu isu ini sengaja diperbesarkan dan dimanipulasi Umno dengan menambah perisa dan perencah dengan tujuan mewujudkan sentimen kaum dan agama di negara ini. Perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima oleh mana-mana rakyat Malaysia yang sihat dan waras.

Walhal menurut salah seorang khatib yang mendoakan Lim Guan Eng iaitu Ustaz Zakaria Ahmad dari masjid Jelutong tujuannya ialah supaya Allah memberi hidayah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya memeluk Islam. Malah perkara itu sudah dua tahun dilakukannya. Mengapa sekarang baru jadi isu? Itu pun salah ke? Ulama tua dan ulama muda dalam Umno tolong ajar dan nasihat sikit pemimpin mereka supaya tidak menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka tentang Islam.

Ulama tua dan ulama muda dalam Umno kena juga beri nasihat kepada pemimpin mereka bahawa buat solat hajat, baca surah Yassin untuk P Kalamathan di Hulu Selangor dulu mereka guna ayat Quran dan hadis mana untuk menghalalkan tindakan dan fatwa mereka?

Umno Tak Nak Lim Guan Eng Masuk Islam

Oleh Al-Bakistani: Posted on Friday, August 20 @ 23:57:58 PDT by tokdalang

baru sat-sat bersembang dengan seseorang dari negeri Pulau pinang. Dia mendakwa, bahawa kejadian doa dalam Khutbah Jumaat terhadap Lim Guan Eng memang wujud. Tetapi, dia mempersoalkan isu yang sedang di mainkan oleh UMNO, khususnya TPM dan Zahid hamidi.”kat mana salahnya doa itu?” soalnya.

“Pak imam yang menyebut Nama Lim Guan Eng dalam Khutbah itu, dia berdoa agar Lim guang Eng itu diberikan hidayah oleh Allah SWT.. supaya Lim Guang Eng masuk islam” ujar orang yang umurnya hampir 60 tahun itu.

penerangan itu, mengingatkan aku dengan doa nabi SAW yang berbunyi;

اللهم أعز الإسلام بأحد عمرين

maksudnya;

“Ya Allah, berikan kemegahan kepada Islam dengan islamnya salah seorang dari dua orang yang bernama Umar”.

Dua orang umar yang dimaksudkan dalam doa Nabi SAW itu adalah, umar bin Al-Khattab, dan Amru bin Hisham, atau gelaran masyhurnya Abu Jahal [bapa goblok].

dalam doa nabi SAW itu, ternyata Allah SWT memilih Umar bin Al-Khattab, dengan keislaman Khalifah Islam kedua itu keesokkan harinya, di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam.

Justeru, tidak ada salahnya jika benar sungguh wujud Pak Imam yang berdoa di atas mimbar jumaat agar diberikan hidayah kepada Lim guan Eng. Jika ia salah, atas alasan apa ia salah.

Namun, atas alasan politik sempit UMNO itu, sengaja perkara ini diisukan. ia memberi tanda bahawa UMNO memang tidak teringin untuk melihat Lim guan eng memeluk islam, seperti yang sering diharapkan oleh ramai umat Islam yang mahu melihat Islam terlaksana di malaysia.

“UMNO lebih suka orang jadi kafir. yang dah masuk Islam pun, ‘ditarbiah’ UMNO agar lawan Islam” bisik hatiku.

+++++++++++++

Siapa cakap tak serupa bikin?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: