Bersatu jangan berkelahi

APA KATA UTUSAN MALAYSIA.

Jelaskan bahaya politik kebencian kepada rakyat

KLUANG 22 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru golongan muda supaya memainkan peranan lebih aktif menjelaskan kepada masyarakat mengenai bahaya politik kebencian yang dibawa pembangkang.

Beliau berkata, langkah itu mesti dilakukan bagi menyedarkan semua pihak bahawa tindakan menanam rasa kebencian tidak akan membawa pulangan politik yang baik atau nilai kehidupan yang selari dengan tuntutan Islam.

“Sebab itu saya ingatkan kepada semua, dalam kita nak berpolitik pun ada had dan batasannya. Isu-isu yang berhubung kait dengan agama, perpaduan orang Melayu, kaum kita, jangan sampai berada di dalam keadaan yang keruh dan susah untuk dijaga.

“Bagi saya, ia harus membawa balik pulangan dalam politik secara positif berbanding cara menanam kebencian atau nak melaga-lagakan sesama orang kita. Jadi, dalam konteks ini saya harap yang muda-muda ini memainkan peranan untuk mendekati masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersahur bersama penduduk Kampung Melayu Batu 4 Paloh dekat sini awal pagi ini.

Bermula pukul 2 pagi, Hishammuddin bersama isteri, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah turut menghadiri tahlil serta bergotong-royong menyediakan kuih rempeyek dan bahulu di pekarangan Masjid Jamek kampung berkenaan.

Majlis tersebut diadakan sebagai salah satu aktiviti sepanjang Ramadan ini untuk bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di kawasan pedalaman.

Terdahulu, beliau bersama isteri menghadiri Majlis Rahmat Ramadan Parlimen Sembrong dan berbuka puasa di Masjid Jamek An-Naim di Felda Ulu Belitong/Bukit Tongkat dekat sini petang semalam.

Beliau turut menggesa pemimpin politik dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya golongan muda turun menemui masyarakat sekerap mungkin bagi menyampaikan mesej-mesej yang bertujuan memupuk perpaduan rakyat.

Katanya, pemimpin muda dalam BN perlu menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan dengan mengambil langkah proaktif dalam menyelami kehendak dan keperluan masyarakat.

APA KATA DETIKDAILY.

Hishammuddin bakal serah Terengganu dalam gagaL

Oleh: Mat Zain Mat Isa: Posted on Sunday, August 22 @ 15:00:00 PDT by tokdalang

Buat kali yang entah ke berapa Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein mengulangi lagi seruan agar para pemimpin Umno Terengganu berhenti berbalah sesama sendiri atau terpaksa berdepan kemungkinan parti itu ditolak rakyat.

“Saya percaya orang ramai pun sudah bosan melihat kita (pemimpin Umno Terengganu) berkelahi sesama kita. Kita ada banyak lagi kerja untuk membina negara kita yang semakin sempit dan mencabar,” katanya, sepertimana dipetik media tempatan Terengganu, Isnin (16 Ogos).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) di Kuala Terengganu, pada Ahad. Pelantikan Hishammuddin untuk mengemudi Umno Terengganu adalah sebahagian penyusunan semula organisasi parti itu yang diumumkan Presidennya, Dato’ Seri Najib Razak, pada April 2009. Ia dibuat di atas asas meleraikan kekusutan dan memulihkan pergolakan dalaman melanda Umno negeri itu.

Hishammuddin mengambilalih jawatan itu daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman dilantik sebagai Pengerusi BPUNT pada 14 Jun 2008 menggantikan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh. Bagaimana pun, parti dan kerajaan dipimpinnya tidak pernah sunyi dari digugat dan digigit oleh kalangan pemimpin sesama parti, terutama yang tidak dapat menerima pelantikan beliau sebagai peneraju kedua-dua organisasi itu.

Pada zahirnya semua pihak dalam Umno Terengganu menyambut baik pelantikan Hishammuddin dulu. Apabila Ahmad menjadi bahan pertikaian kalangan pemimpin negeri itu sendiri, sudah tentu penyelesaian terbaik ialah mengalihkan jawatan itu kepada orang lain.

Bagaimana pun, setelah lebih 15 bulan diberi tanggungjawab mengetuai Umno negeri berkenaan, terbukti kata sambutan dan aluan diterima Hishammuddin dari semua anak buahnya tidak ubah ibarat sekadar “menanam tebu di tepi bibir”. Hakikat sebenarnya, tidak semua mereka menerima baik kehadiran Hishammuddin. Apatah lagi keterbatasan waktu beliau berada di Terengganu dinilai satu pihak sebagai memberi banyak kelebihan kepada Ahmad selaku timbalannya dalam menentukan gerakerja parti di peringkat negeri.

Ertinya kehadiran Hishammuddin yang diharapkan sebagai pendamai dua kumpulan berseteruan itu tidak berjaya mencapai hasrat asalnya. Akhirnya, kumpulan yang tidak berpuas hati itu bukan sahaja melontarkan peluru ke arah Ahmad, tetapi turut mensasarkan Hishammuddin.

Luahan perasaan Hishammuddin Ahad lalu sudah tentu tidak membayangkan kepuasan hatinya berhubung perkembangan itu. Berdasarkan seruan sama yang diulang-ulang itu, tiada siapa pun yang akan percaya jika dikatakan bahawa masalah dalaman Umno Terengganu telah selesai, atau pun setidak-tidaknya menghampiri jalan damainya.

Beberapa insiden terbaru yang didedahkan kepada umum membuktikan pergolakan parti itu tidak pernah bertambah baik. Di Marang, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga timbalan ketua Umno bahagian itu menyerang bekas ketua Umno bahagian itu yang kini dilantik senator dan dipertanggungjawab mengendalikan peruntukan pembangunan untuk Parlimen Marang.

Dalam bahasa agak sinis, Adun berkenaan meminta kerajaan menimbangkan pengagihan peruntukan pembangunan di peringkat Parlimen ke setiap Dun. Beliau mendakwa sehingga kini peruntukan pembangunan Parlimen tidak “tumpah” ke Dun, menyebabkan peruntukan diperolehi Adun-Adun terhad.

“Tetapi apa yang terjadi sekarang, peruntukan itu diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab menjaga kawasan Parlimen ini, tetapi wang itu tidak diagihkan kepada kawasan Dun. Jadi kita tidak tahu duit itu ke mana (dibelanjakan),” kata Adun berkenaan, sepertimana dipetik akhbar tempatan Terengganu, awal Julai lalu.

Cerita yang berlaku dalam Umno Bahagian Setiu pula memang lebih menggemparkan. Kumpulan yang tidak sehaluan dengan ketua bahagian mengambil kesempatan atas kehadiran Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan mesyuarat Umno bahagian mereka bulan lalu untuk menyatakan sikap itu. Mereka ini, termasuk empat Adun memboikot mesyuarat tersebut, sehingga menimbulkan rasa kecewa dan kesal yang amat pada Muhyiddin.

Tidak syak lagi keengganan mereka hadir meraikan kedatangan pemimpin nombor dua parti dan kerajaan itu memberikan kesan amat buruk kepada Umno. Bagaimana pun, Majlis Tertinggi Umno yang membincangkan tindakan mereka gagal memutuskan sebarang tindakan disiplin.

“Kita tidak ambil tindakan (terhadap Umno Setiu) kerana kalau mahu ambil tindakan, banyak lagi bahagian lain kena ambil tindakan,” ulas Hishammuddin, Ahad lalu.

Memang benar apa diakui beliau itu. Umno Terengganu bukan sahaja berdepan masalah perpecahan di Setiu, malah keadaan serupa turut berlaku di hampir semua bahagian lain.

Dalam keadaan sebegitulah, kedengaran suara menuntut agar kepemimpinan Umno negeri diserahkan kembali kepada pemimpin tempatan. Antara bahagian mengusulkan perkara itu ialah Kemaman yang diterajui Ahmad sendiri.

Ditakdirkan MT Umno mengambil keputusan selari dengan usul berkenaan, maka mahu tidak mahu Hishammuddin perlu akui bahawa beliau terpaksa menamatkan tugasnya di Terengganu dalam kegagalan. Misinya melaksanakan pelan damai di negeri itu tidak menampakkan hasil positif.

++++++++

Itulah tak lihat diri sendiri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: