Perutusan Aidil Fitri dari pemimpin.

APA KATA BERITA HARIAN.COM.MY

Runtuhkan tembok prasangka.

S Anand Kumar: anand@bharian.com.my 2010/09/10

Oleh DS Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai penduduk majoriti negara, umat Islam perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk memikul amanah kepemimpinan negara.

Bagi mencapai hasrat itu, Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu tegas, berjiwa besar dan sentiasa berlapang dada bagi mengukuhkan perpaduan sesama Islam dan pelbagai kaum, seterusnya mencapai kestabilan nasional.

Beliau berkata, sejak merdeka, umat Islam berjaya menunaikan amanah berkenaan sebaik mungkin dan setiap generasi perlu meneruskan tuntutan moral itu secara lebih baik supaya kesucian ajaran Islam tidak disalah erti.

“Sayang sekali, akibat mengikut nafsu dan amarah, Islam kini menjadi agama yang disalahertikan. Tanggapan dan telahan yang tidak benar menjadi kelaziman seperti Islam agama pengganas, terkebelakang serta tidak progresif.

“Sejak merdeka, kepemimpinan negara menyedari perpaduan kebangsaan serta kestabilan adalah prasyarat utama kepada kelangsungan dan kebahagiaan nasional. Perpaduan nasional tidak akan bersifat mapan dan tuntas kecuali diteraskan kepada perpaduan umat Islam yang mantap,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri hari ini.

Najib juga mengingatkan rakyat kestabilan nasional tidak akan tercapai jika umat Islam tidak mampu mencapai ijmak dalam perkara asas beragama, manakala berpolemik pula secara yang tidak berkesudahan serta bersifat memusnah.

Perdana Menteri turut mengimbau pasang surut perhubungan kaum sejak lima dekad lalu, namun setiap cabaran berjaya dihadapi dengan cemerlang, termasuk tragedi hitam 13 Mei 1969.

“Persoalannya, apakah formula yang membolehkan kita menghadapi segala cabaran nasional ini sebaiknya. Jawapannya adalah kerana kita umat Islam di Malaysia sejak ajaran agama yang suci tiba di rantau ini, mengamalkan pendekatan wasatiyyah atau pertengahan dalam kehidupan beragama.

“Pendekatan wasatiyyah ini yang menyebabkan Malaysia muncul sebagai antara negara Islam termaju di dunia. Ia juga meletakkan umat dan negara pada garisan yang betul menuju negara Islam berstatus maju dengan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Selain itu, kita hendaklah mengelakkan diri daripada terjerumus dalam gejala ekstremisme mahupun kejumudan. Sesungguhnya, jika kita membuka ruang atau memberi kesempatan kepada gejala itu mekar subur, bererti kita menanam bibit kehancuran yang akan meruntuhkan segala yang terbina selama ini,” katanya.

Justeru, beliau mengajak umat Islam dan rakyat bersama-sama menunaikan tanggungjawab untuk menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional dan meneruskan tradisi rumah terbuka yang selama ini menjadi amalan rakyat.

“Runtuhkan tembok prasangka dan rungkaikan prejudis dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah kita serta pintu hati untuk rakan daripada pelbagai kaum dan agama pada hari yang mulia. Jelas sekali, ini adalah tradisi Malaysia yang amat unik dan tidak berlaku di mana-mana negara di dunia yang mana rakan dari pelbagai kaum serta agama boleh mengunjungi kita tanpa sebarang halangan atau kebimbangan,” katanya.

Beliau juga berharap umat Islam bersyukur dengan kemampuan menyambut Aidilfitri dalam aman damai serta dilimpahi kemakmuran serta bebas daripada peperangan, konflik, penindasan dan bencana alam seperti yang melanda sesetengah saudara seagama di seluruh pelusuk dunia.

“Sebagai umat yang bersyukur, kita perlu berterima kasih kepada kepemimpinan negara terdahulu yang meletakkan asas kukuh kepada kejayaan Malaysia pada hari ini. Terima kasih kita juga kepada anggota pasukan keselamatan yang mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara.

“Tidak dilupakan kepada penjawat awam, guru, golongan pekerja, petani, peladang, usahawan dan nelayan. Segala usaha dan pengorbanan semua menjadi asas serta landasan kepada apa yang kita nikmati bersama,” katanya.

Sempena Aidilfitri, Perdana Menteri juga memohon ampun dan maaf bagi pihak dirinya dan keluarga serta sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya semua umat Islam dapat menyambut perayaan ini dengan penuh gembira dan kesyukuran.

DS Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi Barisan Nasional, Presiden UMNO

APA KATA DETIKDAILY.COM

Kekalkan hidup beragama.

Posted on Thursday, September 09 @ 02:50:59 PDT by paktam

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Firman Allah SWT bermaksud: “(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)

Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi dengan beribadat di sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri, 1 Syawal  1431H ini. Sesungguhnya kesempatan setiap Ramadhan disediakan oleh Allah SWT wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadah demi meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.

Asas kehidupan manusia yang beriman dan bertaqwa sudah pasti berpandukan agama. Ini kerana ajaran agama menyediakan perlembagaan hidup yang sebenar. Maka kehidupan orang yang taqwa sudah pasti hidupnya selari dengan agama, yakni perlembagaan hidup yang berteraskan agama. Justeru kehidupan seorang yang beragama adalah terlalu jauh bezanya dengan kehidupan berpandukan perlembagaan buatan (digubal) manusia. Ini kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang menggubal perlembagaan, apakah mereka dapat menjamin bahawa roh perlembagaan yang digubal manusia itu dapat memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT? Tanpa ada sebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatan itu dapat menyelamatkan seseorang manusia itu daripada neraka Allah SWT?

Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.

Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.

Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah Akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat Islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah, iaitu kita bertakbir di mana-mana tempat (di mana yang sesuai).

InsyaAllah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India yang Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.

Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum Muslimin. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amiin apabila imam menghabiskan bacaan al-Fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.

Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. Insya Allah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.

Pada kesempatan ini juga, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa pulang berhari raya, terutama di sepanjang perjalanan. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, Mursyidul Am PAS.

Merenung diri dan menjana kejayaan.

Posted on Thursday, September 09 @ 02:55:14 PDT by paktam

Oleh DS Anwar Ibrahim.

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Menjelang Syawal, saya (Anwar Ibrahim, gambar kanan) mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam.  Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada.  Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi.  Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian.  Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam.  Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita.  Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya.  Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk.  Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal.  Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan “di hari ini kami tidak akan terkalahkan”.

Keangkuhan menjalar dan merasuk!  Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti.  Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani.  Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,

“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”

Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur.  Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.

Salam Eidulfitri

Minal ‘aidil wal faiziin, maaf zahir dan batin.

DS Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat.

Kembali kepada sifat kemanusiaan

Posted by Anak Sungai Derhaka

Oleh Lim Guan Eng.

Salam Hari Raya Aidil Fitri 1431H saya hulurkan kepada semua umat Islam di Malaysia serta selamat bercuti kepada semua warga Malaysia. Semoga 1 Syawal yang mulia ini dapat memberi berkat dan rahmat buat kita semua.

Sempena Syawal sebagai bulan suci bagi umat Islam untuk membersihkan diri dari segala gejala buruk, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf jika ada salah silap yang sememangnya tidak disengajakan.

Untuk itu, saya harap kita dapat bersama-sama kembali kepada sifat kemanusiaan yang jujur dan ikhlas dengan membuang sifat-sifat keji seperti perkauman dan keagamaan yang melampau. Bagi saya, agama membawa kebaikan insan dan bukannya pencetus kepada sikap benci-membenci. Kasih sayang antara jiran, antara sahabat, malah antara penyokong politik yang berbeza fahaman adalah penting kerana kita semua adalah sama dan setaraf sebagai manusia.

Sebarang perbezaan fahaman politik boleh dibincang atau dibahaskan, bukannya dibenci atau dihina; bukannya dikenakan tindakan undang-undang atau didiskriminasikan oleh mereka yang berkuasa.

Kata-kata perkauman yang meghina maruah dan harga diri warga Malaysia perlu dihentikan serta-merta. Tuduh-menuduh antara kaum dan agama tidak akan dapat merapatkan hubungan kita sebagai rakyat yang cintakan Malaysia.

Saya sedih kerana sepanjang bulan Ramadan yang mulia lalu, masih ada anasir-anasir yang sanggup mencemarkan kesucian bulan puasa dengan fitnah dan pembohongan perkauman dan agama di mana saya sendiri sekali lagi menjadi mangsanya. Sedih sungguh apabila kemurnian Ramadan dikotorkan oleh segelintir manusia yang gelap hati mereka.

Saya berharap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat yang telah berjanji untuk menangani masalah perkauman supaya benar-benar berani melaksanakan langkah-langkah tegas. Tidak boleh ada pilih kasih. Yang bersalah, sama ada dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya atau pun dari kalangan penganut apa-apa agama, perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang atas prinsip keadilan.

Memerangi masalah perkauman dan amalan agama yang ekstrem bukan sekadar soal politik kepartian. Ia adalah isu nasional yang harus ditangani bersama oleh setiap warga yang prihatin kepada keadilan dan demokrasi.

Di negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri akan berusaha untuk martabatkan rakyat Pulau Pinang dan orang Melayu memiliki daya dinamik, daya kepakaran dan daya keusahawanan. Peruntukan untuk hal ehwal Islam telah bertambah daripada RM 12.5 juta pada 2008 kepada RM 24.3 juta pada 2010. Di antara langkah yang diambil oleh kerajaan negeri adalah:

a) mengadakan tender terbuka di mana kontraktor Melayu biasa menunjukkan kebolehan berdaya saing dengan kontraktor lain dengan kontraktor Melayu biasa memenangi kebanyakan tender. Jelas hanya kontraktor UMNO sahaja yang tidak dapat berdaya saing.

b) menubuhkan Majlis Sains Pulau Pinang yang menggalakkan pelajar pintar dan menubuhkan Penang Tech Center yang menonjolkan pencapaian industri di sini agar menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemeralangan sains dan teknologi; dan

c) memberikan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun dan duit raya kepada guru kafa dan mengiktiraf para huffaz;

d) menubuhkan Hab Pendidikan Pulau Pinang untuk menggalakkan universiti terkemuka dunia termasuk dalam Islam untuk mendirikan kampus cawangan;

e) memberikan bantuan mikro-kredit tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil dan mengurangkan bayaran lesen penjaja dan nelayan sebanyak 50%

Semoga semangat Syawal akan membuka hati kita untuk menerima hakikat bahawa kita adalah warga yang bersaudara dalam satu negara yang sama-sama kita bina dan hidup bersama.

Ikhlas dari saya, maaf zahir dan batin.

Lim Guan Eng, Ketua Menteri  Pulau Pinang, setiausaha Agung DAP.

Insafi perbuatan yang tidak elok

Saturday, 19 September 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

Oleh TS Khali Ibrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh,

Muslimin muslimat yang saya kasihi dan hormati sekalian,

Saya bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana dengan izinNya jualah, sekali lagi, saya berpeluang bersama-sama dengan rakyat Selangor meraikan Aidilfitri yang berbahagia ini. Saya, dan isteri saya, Puan Sri Salbiah binti Tunut serta seluruh ahli keluarga, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor khususnya, serta rakyat Malaysia, secara umumnya.

Muslimin muslimat yang saya hormati dan kasihi sekalian,

Saya amat berbesar hati, sekiranya, kita dapat sama-sama menyambut aidilfitri tahun ini, dengan penuh rasa kesyukuran kepada Tuhan, atas segala rezeki dan keberkatan yang telah diberikan kepada kita, disepanjang kita menyambut Ramadhan baru-baru ini.

Kita semua maklum, menjadi lumrah dan adat kita berjiran, kadangkala, ada berlaku perselisihan faham, berasa hati dan bermasam muka antara satu sama lain. Oleh itu, saya benar-benar berharap, aidilfitri kali ini, kita sesama jiran tetangga, tidak kira, sesama Islam, mahupun, bukan Islam, mengambil kesempatan ini untuk sama-sama bermaaf-maafan.

Muslimin muslimat yang saya hormati dan kasihi sekalian,

Namun, di bulan Ramadhan yang baru berlalu, saya berasa agak kesal dengan beberapa insiden yang boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri Selangor. Seterusnya, mencemar kemuliaan bulan Ramadan itu sendiri. Oleh itu, saya berharap agar penganut bukan Islam dapat memahami bahawa tindakan segelintir masyarakat Islam yang tidak memahami budaya dan kepercayaan penganut agama lain itu, tidak mewakili masyarakat Islam Selangor secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sentiasa memberi komitmen sepenuhnya kepada masyarakat untuk memastikan keharmoniaan dan perpaduan dikalangan rakyat Selangor sentiasa terpelihara. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan polisi-polisi seperti Merakyatkan Ekonomi Selangor, ketelusan dan akauntabiliti dan sebagainya dengan mengambil kira tanggungjawab Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menjaga kepentingan semua kaum di Selangor serta untuk menjaga dan memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat Selangor.

Muslimin muslimat sekalian,

Kita harus fahami, bahawa, Islam mengajar umatnya sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain, sama ada sesama Islam mahupun, bukan Islam. Kita harus meyakini, bahawa, Islam merupakan agama pelindung dan rahmat untuk semua.

Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk sama-sama saling ingat mengingati antara kita, tentang, betapa Islam mementingkan adab, tatasusila dan sopan santun dalam masyarakat yang berbilang kaum ini. Selain kita menjaga adab kita antara umat Islam, kita juga disuruh oleh agama untuk menjaga adab serta hormat kita kepada masyarakat yang bukan beragama Islam supaya mereka juga akan menghormati kita dan agama Islam.

Kita sedia maklum, majoriti penganut agama Islam di negara ini adalah melayu, dan kita mewarisi agama Islam itu daripada ibu bapa kita, nenek moyang kita. Namun, kita tidak boleh selesa dengan kedudukan kita itu, kerana sesungguhnya, ilmu dan nilai Islam itu sangat luas, ia membatasi sempadan pemikiran kita sebagai orang Melayu.

Oleh itu, Allah jadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang sangat mulia, di mana pada bulan ini,kita digalakkan untuk beribadat dan mencari ilmu agama itu dengan lebih banyak lagi, dan sebagai ganjaran, Tuhan, hadiahkan kita dengan pahala yang berlipat kali ganda. Kemudiannya, Allah datangkan pula kepada kita, bulan Syawal, untuk kita raikan bersama-sama masyarakat, kejayaan kita mengharungi bulan Ramadhan itu.

Muslimin muslimat yang saya kasihi dan hormati sekalian,

Kejayaan kita mengharungi Ramadhan, serta ketibaan Syawal ini, membuat kita berasa kerdil dengan keluasan ilmu Islam itu,sekaligus, kita berasa lebih rendah diri kepadaNya dan mengajar kita adab dan tatasusila sebagai seorang Muslim dengan lebih baik lagi, dan akhirnya, insaf dengan segala kelemahan dan kesilapan kita sesama umat.

Oleh itu, apabila kita sudah kenal dan hargai kecantikan dan panduan agama Islam itu, kita jadikanlah ia budaya dan tradisi hidup kita pula. Kita pupuk dan kita semai dalam kehidupan harian kita. Dan seterusnya, menjadi tanggungjawab kita pula untuk mendidik anak-anak kita dengan budaya dan tradisi ini.

Saya yakin, apabila penganut agama lain, melihat kita orang melayu, mempunyai adab sopan dan akhlak yang baik, tentu sekali mereka tidak akan memandang rendah kepada kita, sekaligus, menghormati kita sebagai penganut agama Islam.

Muslimin muslimat sekalian,

Sesungguhnya, anak-anak kita, generasi muda kini, melihat dengan penuh minat perlakuan kita sebagai ibu-bapa dan pembimbing mereka. Kalau kita tidak menghormati orang lain, mereka juga akan berbuat demikian, kalau kita tidak menunjukkan akhlak dan adab yang baik, mereka juga akan berkelakuan tidak baik.Dan jika kita tidak mengamalkan sikap toleransi sesama muslimin dan muslimat, dan kepada penganut agama lain, mereka juga, akan bertindak demikian.

Oleh itu, kita mesti bersama-sama bertekad pada hari raya yang mulia ini, supaya, menjadikan budaya dan nilai Islam, sebagai cara hidup kita yang menyeluruh serta jadikan ia budaya dan nilai alternatif kepada budaya dan amalan penganut agama lain di Selangor ini. Kita haruslah, jadikan prinsip-prinsip agama Islam sebagai ilmu asas dan berterusan dalam masyarakat kita. Saya percaya dengan bimbingan yang berlandaskan Islam, anak-anak kita generasi muda kini, dapat mengenal antara perkara dan perbuatan yang baik dan juga yang salah.

Muslimin dan muslimat,

Sealin itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengingatkan rakyat Selangor yang akan pulang beraya ke kampung supaya memastikan kenderaan anda berada dalam keadaan baik. Pilihlah masa yang terbaik untuk memandu pulang ke kampung. Saya juga bermohon agar had laju lebuhraya dipatuhi, untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tidak lupa juga, marilah kita sama-sama saling ingat mengingati, untuk berbelanja dengan lebih berhemah lagi. Dalam keadaaan ekonomi negara yang tidak menentu ini, saya benar-benar berharap, agar, perbelanjaan untuk merayakan hari raya aidilfitri ini dirancang dengan bijak dan cermat.

Muslimin muslimat yang saya kasihi dan hormati sekalian,

Akhir kata, marilah sama-sama di hari raya ini, kita menilai kembali diri kita sebagai penganut agama Islam. Kita perbaiki diri kita dan akhlak kita untuk menjadi insan yang lebih baik.Kita buang yang keruh,dan ambil yang jernih. Sama-sama kita insafi perbuatan-perbuatan kita yang tidak elok, dan kita sama-sama bernekad tidak akan melakukannya lagi, untuk keharmonian keluarga kita, jiran tetangga kita dan masyarakat kita secara keseluruhannya.

Sekali lagi, saya dan isteri saya, Puan Sri Salbiah binti Tunut serta keluarga, mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin. Selamat pulang ke kampung halaman dengan selamat dan kepada mereka yang berhari raya di negeri Selangor ini, Muslimin, Muslimat serta seluruh warga Selangor yang bukan Islam, saya menjemput semua untuk bersama-sama saya dan keluarga meraikan hari raya pertama di Pusat Konvensyen Shah Alam dari pukul 10 pagi sehingga pukul 3 petang.

Sekian sahaja. Wabilahhi taufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakkatuh.

TS Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

+++++++++++++++++

Selamat  Hari Raya Aidil Fitri, maaf dzahir dan bathin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: