Siapa sebenarnya yang tak tahu duit judi itu haram?

APA KATA LAWI AYAM (http://lawi-ayam.blogspot.com)

Duit judi dana untuk orang miskin.

Reezal Merican Naina Merican TELAH menunjukkan salinan surat yang membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang mendapatkan dana daripada sumber judi untuk program membiayai miskin tegar pada sidang akhbar di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

Apa nak dikatakan lagi? Kalau dah kerajaan bukan Islam namanya, dananya juga bersifat ‘bukan Islam’.

Yang pasti, mesti ada orang Melayu-Islam Pulau Pinang terpaksa menerimanya juga kerana kemiskinan.

Lebih mengejutkan dana itu turut membabitkan hasil judi.

Inilah kerajaan pakatan pembangkang yang disanjung oleh PAS. Sekarang ternyata ‘Umar Ab Aziz’ Pulau Pinang (bukan pemerintah Islam – Khalifah Umar Abdul Aziz ) menggunakan apa sahaja wang untuk dana dan PASW pula memejamkan mata.

Harapkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Exco Kerajaan yang beragama Islam? Mereka sama saja. Kalau tidak tak kan sokong baca doa untuk Lim Guan Eng.

Sedih dan meyakitkan bagi kita orang Islam mendengar perbuatan kerajaan negeri Pulau Pinang melakukan sedemikian rupa.

Pendedahan Pergerakan Pemuda UMNO semalam amat penting dan melebihi daripada apa yang dilakukan oleh Pemuda PAS yang bersubahat dan memejamkan mata serta memekakkan telinga mengenai perkara ini.

Mana Pemuda PAS Pulau Pinang yang begitu ‘angkuh’ mempertahankan Guan Eng selama ini? Takut bersuara? Tetapi bukankah ini sesuatu yang menjijikan bagi umat Islam? Bolehkan orang Islam menerima bantuan daripada dana hasil judi?

Mana Mujahid Yusof Rawa? Mana itu Ahli Parlimen Parit Buntar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, AJK PAS Pusat, AJK Pemuda PAS Pusat sertaYang Dipertua PAS Kawasan Bayan Baru, Pulau Pinang?

Bolehkah anda buat tidak tahu dan berdiam diri dalam isu ini hanya kerana PAS adalah sekutu pakatan pembangkang?

PAS kajilah perkara ini. Pemuda UMNO bukan main politik apabila semalam mendedahkan sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Bertarikh 9 Julai 2010, surat itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob, mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

‘‘Kalau sebelum ini kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng bermati-matian menafikan pernah menerima duit hasil perjudian untuk membiayai program mereka, saya cabar kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan berhubung surat ini.

‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gagal menjelaskan pembohongan ini, maka beliau akan dikenang sebagai bapa segala pembohongan. Kalau tidak betul pun, sila tampil beri penjelasan kerana surat ini dikeluarkan oleh pejabat beliau sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Kepala Batas

APA KATA DETIKDAILY (http://www.detikdaily.net)

Guan Eng: Pemuda Umno bohong, wang ihsan bukan dana kelab kuda

Oleh Muaz Mustaqim: Posted on Friday, September 24 @ 23:02:40 PDT by paktam

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.

Sehubungan itu tegas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam sebagai “satu pembohongan.”

Lim menjelaskan, dana daripada kelab tersebut hanya digunakan untuk membantu bukan Islam yang jumlahnya 10 peratus di kalangan miskin tegar negeri itu.

“Dakwaan Reezal adalah usaha Umno mahu mensabotaj program warga emas,” kata Lim (gambar) selepas merasmikan program pembersihan pantai antarabangsa di sini hari ini.

Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Surat itu, bertarikh 9 Julai 2010, yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob mengesahkan sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Reezal berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

Akhir minggu lalu Reezal mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat minggu lalu adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut. M/Insider.

APA KATA HARAKAHDAILY (http://www.harakahdaily.net)

Forum Ekonomi Islam di negara yang halalkan judi

Herman Samsudeen:

Pakar-pakar ekonomi dan wakil Kerajaan beberapa negara Islam berkampung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini untuk membincangkan isu-isu ekonomi negara Islam.

Menariknya, sebelum Forum Ekonomi Islam ini jalankan, minggu lepas Kerajaan Malaysia memperkenalkan satu lagi sumber ekonomi baru negara ini iaitu pengeluaran lesen judi bolasepak piala dunia.

Keputusan yang cukup kontradik dengan mesej Forum Ekonomi hari ini.

Kita menghimpunkan pakar-pakar ekonomi untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman terbaik mereka bagi merancangan aktiviti ekonomi kalangan negara Islam.

Yang pastinya aktiviti itu pastilah atas nama Islam yang halal dan tidak melanggar syariah.

Malaysia jadi tuan rumah bagi Forum tahun ini. Tetapi nama Malaysia membusuk dikarpet merah para VIP bila mana mereka mentertawakan sikap Malaysia yang ghairah untuk merebut duit haram hasil perjudian.

Pastinya mereka juga akan tertanya-tanya, adakah duit Kerajaan yang digunakan bagi menjayakan Forum kali ini adalah dari sumber yang halal atau haram.

Rakyat berharap agar forum ini membukan mata dan telinga pemimpin negara ini dan seluruh dunia khususnya bahawa dalam ekonomi Islam duit judi, arak dan segala macam yang haram sedikit pun tidak mempunyai keberkatan dan merugikan negara dimasa hadapan.

Judi merosakan rakyat, dimana duit yang mereka miliki hasil perahan keringat mereka bakal habis dilaburkan tanpa apa-apa pulangan pun.

Kerajaan tak mampu banteras sindiket judi, tapi jangan fikir mereka akan mohon lesen kalau kerajaan keluarkan kelulusan.

Mereka akan tetap bejudi secara haram kerana kosnya lebih murah dan tak perlu kena cukai.

Jadi, kelulusan yang diberikan adalah kelulusan yang sia-sia.

Kerajaan jelas tidak berminat nak hapuskan judi, tapi mahu memperbanyakan aktiviti judi yang dikawal oleh Berjaya Group..

Memang sungguh memalukan, kerana Forum yang berlangsung hari ini tidak mampu memberikan manfaat kepada Kerajaan dan rakyat negara ini.

APA KATA MALAYSIAKINI (http://www.malaysiakini.com)

Bantuan k’jaan Pulau Pinang tidak haram

Sep 27, 10 2:34pm

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata wang yang diterima daripada bantuan kewangan kerajaan yang hasilnya diperolehi dari sumber perjudian adalah tidak haram.

“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,” katanya dalam pesanan SMS kepada Malaysiakini dari Beijing, China.

Menurut Dr Asri, kesalahan ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi.

“Sama dengan mereka yang mendapat gaji dari kerajaan atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi. Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi berniaga makanan.”

Beliau mengulas laporan akhbar yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda negeri itu untuk disalurkan ke program membasmi kemiskinannya.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan laporan berkenaan dan berkata wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda itu diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Judi hendaklah dicegah…

Menurut Dr Asri, hakikatnya di Malaysia, wang judi digunakan bukan sahaja oleh kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi juga oleh kerajaan persekutuan. Sumber itu diperolehi menerusi bentuk cukai judi, arak, hiburan dan lain-lain lagi.

“Pendapatan kerajaan itu juga digunakan untuk pelbagai keperluan rakyat. Kakitangan kerajaan yang mendapat gaji juga dari pelbagai sumber,” katanya.

Sehubungan itu, kata Dr Asri, segala aktiviti yang menggalakkan judi hendaklah dicegah oleh semua kerajaan kerana judi adalah haram dan merosakkan masyarakat.

Dalam perkembangan yang sama, Lim hari ini berkata Umno cuba meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

“Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program rakan anti-kemiskinan (RAK) membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, wang derma RM2 juta itu telah disahkan oleh pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus bahawa ia telah diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Ada juga bukan Islam miskin tegar…

“Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN. Adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?” soal Lim.

Katanya lagi, bantuan RAK kepada keluarga miskin tegar Islam dibiayai daripada hasil kerajaan negeri menerusi lebihan belanjawan.

Program penghargaan warga emas yang menjadi isu kontroversial itu membayar RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan mendapat RM100 setiap tahun. Di samping itu, waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia.

“Urustadbir CAT dan langkah anti-rasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009.

“Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar. Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan Belanjawan. Dengan kata lain, program penghargaan warga emas adalah dividen ‘anti-rasuah’ yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit,” katanya lagi.

++++++++++++++++++

Agaknya menurut Rizal, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Pulau Pinang itu budak tak berpelajarankah, tak tahu menasihatkan Lim Guan Eng?

Malaysia? Negara Islam Mahathir…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: