Siapa yang tidak mengaji hukum?

APA KATA MALAYSIAZOOM (http://www.malaysiazoom.com)

Wang judi dipulangkan

Posted by admin on Sep 29, 2010

KEPALA BATAS 29 Sept. Seramai 40 penerima bantuan program basmi kemiskinan serta wang ihsan sebanyak RM100 daripada kerajaan negeri hari ini bertindak memulangkan semula wang itu kerana ragu-ragu program tersebut dibiayai menggunakan dana perjudian.

Mereka yang terdiri daripada sekumpulan warga emas serta fakir miskin sekitar kawasan berkenaan memulangkan wang tersebut dalam satu majlis di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga di sini hari ini.

Secara simbolik, kumpulan tersebut beramai-ramai memasukkan wang ke dalam sebuah tabung yang akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri pakatan pembangkang dalam masa terdekat.

Pada satu ketika, suasana majlis bertukar hiba apabila beberapa warga emas yang ditemubual pihak media tiba-tiba sebak dan menitiskan air mata ketika meluahkan rasa kesal mengenai isu penggunaan wang perjudian bagi membiayai program berkenaan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim yang juga ADUN Penaga berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada penerima bantuan terutamanya warga emas yang berasa ragu selepas isu tersebut didedahkan media massa.

Mereka kecewa apabila kerajaan negeri sendiri mengaku ada menerima wang sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan sehinggakan warga emas yang menerima wang ihsan RM100 baru-baru ini juga meragui sama ada wang itu datang daripada sumber yang sama.

Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak menghasut mereka (memulangkan wang), tapi bila ramai yang datang ke pusat khidmat hendak berbuat demikian, kita fikir lebih baik mereka berkumpul dan memulangkannya bersama-sama, katanya pada sidang akhbar selepas majlis itu.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan ADUN Bertam, Zabariah Wahab.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini mengesahkan bahawa kerajaan negeri menerima wang sebanyak RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi membiayai program membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

Pengakuan itu dibuat beberapa hari selepas pendedahan sepucuk surat yang membuktikan kerajaan negeri menerima baki wang sebanyak RM500,000 daripada kelab berkenaan walaupun kerajaan negeri sebelum ini menafikan pernah menerima wang daripada mana-mana sumber perjudian.

Azhar memberitahu, pihaknya difahamkan ramai warga emas dan fakir miskin di kawasan lain termasuk Bukit Mertajam dan Balik Pulau turut berhasrat memulangkan wang bantuan berkenaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, tindakan kumpulan terbabit memberi mesej cukup jelas kepada kerajaan negeri bahawa rakyat negeri ini terutamanya umat Islam tidak akan berkompromi dalam soal mempertahankan hak dan kesucian agama.

Tindakan kerajaan negeri yang satu ketika menafikan kemudian mengaku pula (menerima wang judi) membuatkan rakyat rasa terpedaya dan Guan Eng perlu tahu bahawa umat Islam lebih rela tidak dibantu daripada diberikan wang sumber perjudian, tegasnya.

Dipetik dari Utusan Malaysia

APA KATA HARAKAH DAILY (http://www.detikdaily.net)

Hukum menerima sumbangan dari hasil bercampur@syubhah judi

by Zaharuddin.net

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya.

Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran’ dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA.

Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi’. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi.

Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta’lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه – أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu’ , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : “Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita”. Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara’ yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa’ sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu’asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma’ wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به

Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas’ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.

Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini

Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara’. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net

30 Sept 2010

Pemuda Pakatan Pulau Pinang cabar 11 Adun Umno pulang gaji, elaun

Posted on Thursday, September 30 @ 23:37:37

Oleh Muaz Mustaqim

BUTTERWORTH, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencabar kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno negeri itu agar memulangkan gaji dan elaun wakil rakyat mereka jika serius mahu menyelamatkan umat Islam daripada menerima wang ihsan yang mereka dakwa sebagai dana bersumberkan hasil judi.

Cabaran itu dibuat rentetan kenyataan Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim kelmarin bahawa 40 warga emas dalam kawasan beliau telah memulangkan wang ihsan RM100 seorang kepada warga emas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini Azhar berkata lebih ramai akan berbuat demikian.

Semalam kerajaan negeri menyifatkan tindakan Azhar itu sebagai sandiwara untuk menyerang pentadbiran PR.

Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Syed Mikael Rizal Aidid, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP negeri Ng Wei Aik dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Md Noor Harun itu turut menyelar Umno Pulau Pinang yang memperalatkan warga emas bagi mencapai cita-cita politik murahan mereka.

“Umno sepatutnya mendapatkan kenyataan sebenar mengenai sumber penggunaan wang penghargaan kepada warga emas sebelum membuat dakwaan yang berunsur fitnah dan bohong,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, mereka juga menyifatkan tindakan Azhar yang juga Adun Penaga sebagai satu tindakan terdesak Umno bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat negeri ini, khususnya majoriti masyarakat Melayu yang ternyata sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap mereka.

Dakwaan kerajaan negeri menggunakan sumber dari punca judi bagi menghargai warga emas melalui pemberian wang ihsan RM100 dan juga program miskin tegar telah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Umno pusat pertengahan bulan lau.

Kerajaan negeri juga didakwa menggunakan wang dari dana Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang sebagai sumber kepada pemberian wang penghargaan tersebut.

Di sebalik dakwaan tersebut Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa bercakap kepada media pada 25 September di Teluk Air Tawar, turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah dan pembohongan yang cuba ditimbulkan oleh Umno di Pulau Pinang.

Sehubungan itu Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim (gambar) dalam sidang media beliau semalam turut menafikannya.

“Hasil penjimatan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan PR sejak 2008 yang lalu maka sumbangan kepada warga emas dan golongan miskin tegar telah dapat dimanfaatkan.

“Wang Kelab Lumba Kuda sepertimana yang didakwa itu tidak langsung digunakan untuk program warga emas.Oleh kerana itu Umno jangan cuba hendak memperdayakan warga emas dengan fitnah yang mereka lakukan, “ujarnya.

Malah Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh semasa sidang media yang sama semalam turut meminta Umno Pulau Pinang supaya memastikan mereka yang didakwa memulangkan wang RM100 tersebut adalah mereka yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

“Sekiranya benar dakwaan Azhar terdapat warga emas yang menyerahkan semula wang tersebut, maka mereka perlu memberi semua butiran pengenalan diri kepada kerajaan negeri bagi mengenal pasti status sebenar.

“Kita tidak mahu warga emas yang didakwa mengembalikan wang terpedaya dengan muslihat tersembunyi Umno,” tegasnya.

+++++++++++++++++++

Masya’ALLah…siapa bebal sebenarnya ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: