Kenaikan tarif air di Kedah angkara siapa asalnya.

APA KATA MALAYSIANINSIDER (http://www.themalaysianinsider.com)

Umno Kedah bantah Sada naik tarif air

ALOR SETAR, 1 Okt, 2010 —  Badan Perhubungan Umno Kedah membantah keras tindakan Syarikat Bekalan Air Darulaman (Sada) menaikkan tarif air dan menyifatkan tindakan itu hanya memberi tekanan ekonomi kepada penduduk serta sektor perniagaan di negeri ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata kenaikan itu amat dikesalkan dan disifatkan sebagai “berita buruk” kepada seluruh rakyat negeri Kedah.

“Sehubungan itu kami mendesak kerajaan negeri mengkaji semula kenaikan itu kerana kenaikan itu sangat tinggi sedangkan kualiti perkhidmatan air di Kedah tidak mencapai tahap yang memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya, sejak mula Umno telah menyuarakan kepada kerajaan negeri supaya tidak menaikkan tarif air kerana ia akan meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

Rabu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Sada Datuk Adzmi Din mengumumkan tarif air di Kedah akan dinaikkan sebanyak 1.6 peratus mulai 1 Oktober bagi menampung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.

Katanya tarif air yang diguna pakai sekarang merupakan tarif dan pelarasan yang berkuatkuasa pada 1 Mac 1993 dan sepanjang 17 tahun itu semakan semula tarif air di Kedah tidak pernah dibuat.

Katanya secara keseluruhannya purata kenaikan caj kepada pengguna domestik adalah sekitar 27 peratus dan nilainya antara RM3 hingga RM8 melibatkan 457,707 akaun sehingga Ogos tahun ini. — Bernama

APA KATA PEJUANG BANGSA (http://sejarahmelayu.blogspot.com)

Tarif Air di Kedah naik !! Hadiah kerajaan berkebajikan PAS

Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang ditubuhkan oleh PAS sejak menerajui negeri Kedah semalam telah mengumumkan hadiah menarik kepada rakyat Kedah iaitu kenaikan tarif air antara 25 dan 44 peratus bagi kegunaan domestik, membabitkan 457,707 atau 90 peratus pemegang akaun di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Adzmi Din, berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air dari semasa ke semasa.

PB melihat tindakan kerajaan PAS Kedah menaikkan harga air jelas membebankan rakyat khususnya yang menggunakan kuantiti air yang banyak . Contoh mudah kalau satu keluarga itu mempunyai 9 orang , sudah tentu la jumlah kuantiti air digunakan adalah tinggi . Di tambah lagi dengan kualiti perkhidmatan air di Kedah memang teruk sehingga di beberapa tempat tidak mendapat bekalan air .

Walaupun mereka menyatakan alasan kali terakhir tarif air Kedah disemak adalah pada 1993 iaitu sudah 17 tahun tidak dinaikkan , tetapi mengapa zaman kerajaan BN dulu tidak pulak menaikkan tarif air ??

Mengapa bila tiba PAS perintah negeri Kedah dan menjadikan pulak pengurusan air Kedah diswastakan ke SADA , tiba2 hari ini air telah dinaikkan sebanyak 27 % !!

Hebat betul cara Ostat Azizan mentadbir negeri Kedah ini dan ini lah kerajaan berkebajikan patut dijadikan role model . Menariknya , selain Kedah umumka naik air kerana kos operasi meningkat , di negeri Khalifah LGE pulak air naik kerana kerajaan negeri mahu kenakan rakyatnya yang guna air banyak . haha

Inilah stail pemerintahan kerajaan Pakatan Haprak !! AIR menjadi mangsa di negeri2 Pakatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada duit rakyat .

APA KATA DETIKDAILY (http://www.detikdaily.net)

Air naik di Kedah, BN pula terpaksa bela diri

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA: Posted on Tuesday, October 12 @ 23:00:00

Agak menarik dalam isu kenaikan tari air di Kedah ialah sepatutnya Kerajaan Negeri yang teruk dihentam kerana menaikkan harga air. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, di mana pihak pembangkang (BN) pula yang terpaksa berhempas pulas mencari dalih dan helah untuk melepaskan diri dari dipersalahkan.

Setiausaha Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad menganggap Menteri Besar Dato’ Seri Azizan Razak macam ‘gangster’ kerana asyik mengugut untuk mendedahkan kepincangan mereka sewaktu jadi kerajaan dulu.

Nawawi agak tertekan kerana dia adalah Exco yang bertanggungjawab terhadap air di masa BN. Menteri Besar mendedahkan pembinaan logi pembersihan air Lubuk Buntar yang berkapasiti 25 juta liter sepatutnya bernilai RM25 juta. Tetapi pembinaan di tangan BN menjadikan harganya RM65 juta.

Logi pembersihan air Padang Sanai yang sepatutnya bernilai RM50 juta untuk kapasiti 50 juta liter air tetapi dengan sentuhan tangan BN, harganya melonjak menjadi RM155 juta. Ia mungkin menjawab persoalan mengapa kerajaan lalu beriya-iya menolak geran peruntukan Pusat untuk perkhidmatan air. Sebaliknya mereka menerima pinjaman yang memberi peluang menentukan siapa kontraktornya serta tidak terikat dengan harga berasaskan spesifikasi dari Kementerian Kerajaan Pusat.

BN dipersalahkan juga berhubung perjanjian-perjanjian yang merugikan rakyat dalam pengurusan air yang dimeterai oleh kerajaan lalu. Antaranya ialah dengan syarikat Taliworks di Langkawi. Taliworks dikatakan syarikat kroni pemimpin BN dan maklumat dalaman syarikat itu mendedahkan bahawa mereka pernah menyumbang RM90 ribu untuk satu jamuan raya anjuran Ir. Nawawi. Mujur beliau belum lagi menjadi ADUN dan Exco sewaktu mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah bersetuju menyambung kontrak Taliworks sehingga tahun 2020.

Dalam perkembangan terbaru, Menteri Besar menyerahkan kepada SPRM sama ada mahu menyiasat atau tidak pemimpn-pemimpin kerajaan lalu. Sebenarnya SPRM berbeza dengan polis yang membuat siasatan selepas laporan dibuat. SPRM mempunyai detektif dan boleh menyiasat tanpa laporan pun. Dan memang dalam banyak kes yang melibatkan individu dalam Pakatan Rakyat mereka menyiasat tanpa laporan dibuat oleh mana-mana pihak. Cuma persoalannya, antara mahu atau tidak.

Kenaikan harga air sehingga 27 peratus adalah angka besar dan menakutkan. Tapi hakikatnya ia tidak sebesar mana kerana harga asal air di Kedah cukup murah pun. Syarikat Air Darul Aman (SADA) mudah saja bermain perang saraf. Mereka membandingkan harga sebelum kenaikan iaitu 8 sen bagi satu tong dram (200 liter) menjadi 10 sen bagi satu tong dram selepas kenaikan. Kenaikan untuk satu tong dram Cuma 2 sen. Poster dan risalah mengenainya diedarkan ke seluruh negeri. Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa harga air di Kedah serendah itu lalu mengiyakan kenaikan tarif air.

Ada juga yang bertanya mengapa kerajaan negeri tidak beri subsidi air? Ketua Pegawai Eksekutif SADA Dato’ Adzmi Din menjelaskan bahawa kenaikan yang sepatutnya ialah RM0.96 semeter padu, barulah kerajaan dapat menampung semua kos pengurusan air.

Dengan tarif yang baru diumumkan ini (RM0.50 semeter padu), SADA dijangka masih mengalami kerugian sebanyak RM24 juta setahun. “Maknanya kerajaan dah bagi ‘subsidi’ RM0.46,” katanya. Kenaikan tarif air di Kedah, ternyata dapat diatasi dengan mudah oleh kerajaan negeri. Maka kenaikan bukan lagi isu besar. Isu besar di sebalik kenaikan tariff air ialah penjajahan Pusat terhadap hak air negeri.

Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada bulan Januari 2005 di mana perkhidmatan bekalan air berkaitan dengan rawatan air dan pengagihan dipindahkan dari Senarai Negeri ke Senarai Bersama (Negeri dan Pusat).

Penstrukturan semula industri bekalan air oleh Kerajaan Persekutuan berlaku pada tahun 2003 iaitu melibatkan penstrukturan semula indsutri Bekalan Air Negara oleh Kerajaan Persekutuan, Pindaan Perlembagaan Persekutuan (2005), Kelulusan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 665) pada tahun 2006, Kelulusan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air (Akta 654) pada tahun 2006 dan Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tahun 2007. Semua itu menjadi langkah-langkah penaklukan Pusat terhadak hak air negeri.

Dengan adanya kedua-dua akta tersebut (Akta 655 dan Akta 654) yang telah diluluskan pada tahun 2006 dan telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2008, maka Enakmen Bekalan Air yang diguna pakai oleh negeri-negeri tidak lagi terpakai dan semua Jabatan Bekalan Air dan Lembaga Air Negeri diletakkan di bawah kawalan SPAN.

Seksyen 3 Akta 655 telah memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan sistem bekalan air dan perkhidmatan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Enakmen Bekalan Air (Syarikat Pengganti) 2008 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kedah pada 18 November 2007 dan diwartakan pada 27 Mac 2008 di mana Enakmen ini membolehkan Kerajaan Negeri berkenaan dengan perkhidmatan bekalan air kepada satu syarikat penganti yang akan berfungsi sebagai operator bekalan air bagi menggantikan Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK). Pengkorporatan JBAK ke SADA adalah untuk memenuhi Akta Persekutuan ini. Semua ini angkara kerajaan BN yang separuh abad berkuasa di Pusat. Dan episod-episod kehilangan hak negeri terhadap air selepas ini akan berlarutan.

Hak negeri terhadap api (elektrik) tiada lagi. Hak terhadap tanah juga banyak yang telah dicerobohi Akta. Dari ‘tanah, air, api, angin’ maka yang tinggal untuk anak negeri selepas ini cuma angin.

Rasional terhadap kenaikan tarif air di Kedah

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA: Posted on Sunday, October 03 @ 17:00:00

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (SADA) Dato’ Adzmi Haji Din mengumumkan kenaikan tarif air di Kedah mulai 1 Oktober 2010. Secara puratanya kenaikan tarif air hanyalah RM0.10 bagi setiap meter padu air.

Bagai yang diduga isu kenaikan tarif air tersebut akan dipergunakan habis-habisan oleh pihak pembangkang Kedah yang sedang ketandusan isu. Namun mereka tidak boleh dipersalahkan kerana tabiat orang yang kelemasan akan berpaut kepada apa sahaja dalam usaha menyelamatkan nyawa perjuangan parti mereka yang kini tinggal nyawa-nyawa ikan di Kedah.

kali terakhir tarif air di Kedah di semak ialah pada 1 Mac 1993. Mulai tarikh itu sehingga 30 September 20010, harga satu meter padu air ialah RM0.40. Ia adalah harga air yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang. Harga semeter padu air di Pulau Pinang hanya RM0.30, manakala perlis yang berada di tempat ke tiga terendah ialah RM0.48. Kedua-kedua negeri itu mendapat sumber air percuma dari sungai serta kawasan tadahannya yang berada di Kedah.

Sepanjang 17 tahun tarif air tidak pernah naik di Kedah, harga petrol naik berpuluh-puluh kali. Kenaikan harga petrol menyebabkan semua perkhidmatan yang berkaitan dengannya juga naik. Antaranya ialah tarif elektrik yang naik entah berapa kali sepanjang tempoh 17 tahun itu.

Maka jika kerajaan negeri, melalui SADA mengumumkan kenaikan tarif air mulai 1 Oktober 2010 maka ia adalah tindakan yang sangat munasabah.

Seorang ADUN PAS menghubungi saya meminta alasan yang munasabah untuk dijelaskan kepada rakyat mengenai rasional kenaikan tarif air. Selama ini pihak pembangkang Pusat (Pakatan Rakyat) akan menentang apa saja kenaikan harga barang atau perkhidmatan yang diumumkan oleh kerajaan. “Sekarang giliran kita pula yang kena,” katanya.

“Jangan panik,” saya menjawab. “Tidak ada mana-mana kerajaan di Malaysia yang kalah kerana isu air.” Dalam isu kenaikan tarif air ini, kita boleh memberikan alasan munasabah yang melampaui batas keraguan.

Pertama: Semakan dan pelarasan tarif air ini adalah arahan dari Kerajaan Pusat setelah melihat kegagalan pengurusan air di hampir kesemua negeri di Malaysia akibat dari hasil air yang dikutip tidak seimbang dengan belanja pengurusan yang tinggi.

Semakan dan pelarasan yang diumumkan Kedah ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air – Negeri Kedah) 2010. Maknanya, Pusat sudah merestuinya. Pusat pasti merestuinya kerana ia memudahkan kerajaan negeri untuk membayar balik hutang pengurusan air kepada Pusat sebanyak RM50 juta setahun.

Kenaikan akan juga berlaku di negeri-negeri lain, termasuk negeri yang ditadbir BN. Cuma Kedah yang mula dahulu. Jika Pemuda BN Kedah bercadang untuk mengadakan demonstari membantah kenaikan tarif air, maka eloklah mereka membatalkan dahulu niatnya kerana jika Perlis, Perak dan Melaka akan umumkan juga kenaikan dalam masa terdekat tentulah mereka akan malu sendiri. Pemuda BN sudah banyak kali malu bersabit isu demonstrasi lantaran isu yang dilontar menjadi senjata makan tuan. Maka eloklah Pemuda jangan jangan menambahkan lagi koleksi kemaluan.

Kedua: Kenaikan ini tidak dapat dielak memandangkan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air meningkat yang meningkat. Contohnya, kos berdasarkan kuantiti bahan kimia yang dibeli untuk mengolah dan merawat air juga meningkat sepanjang 17 tahun iaitu dari RM1,977,334.81 pada tahun 1993 kepada RM4,792,296.03 pada tahun 2009. Bahan kimia ini termasuklah Polyaluminium Chloride, Sodium Silicoflouride, Chlorine dan Hydrated Lime yang diguna untuk membersih air dalam tangki-tangki.

Antara yang naik juga ialah tarif elektrik. Lebih 50 peratus kos pengeluaran air ialah kos elektrik. Ia menjadikan kos yang terpaksa dibayar kepada TNB juga bertambah iaitu sebanyak RM1,977,334.81 pada tahun 1993 meningkat menjadi RM4,792,296.03 pada tahun 2009.

Satu lagi faktor khusus yang mengakibatkan peningkatan kos ialah perjanjian pengurusan bekalan air dengan pihak swasta yang dibuat di zaman BN dulu merugikan pihak kerajaan. Jabatan Bekalan Air Kedah (sekarang SADA) terpksa membayar kepada syarikat Utara Indah Sdn. Bhd. Lebih RM327 juta bagi tempoh 1993 hingga 2009 dan Taliworks (Langkawi) Sdn. Bhd sebanyak RM206 juta sepanjang tempoh yang sama.

Pada tahun 2009 sahaja kerajaan terpaksa membayar kepada syarikat swasta itu RM39 juta sedangkan kutipan hasil air di Langkawi hanya sebanyak RM14 juta, bermakna kerajaan terpaksa ‘top up’ sebanyak RM25.

Begitu juga perjanjian dengan syarikat Utara Indah Sdn Bhd yang diberi tugas merawat air di loji Pelubang, Jitra. Bayaran dibuat berdasarkan kapasiti air yang dirawat bukannya kapasiti air yang sampai kepada pengguna. Hakikatnya kapasiti air yang sampai kepada pengguna hanya kira-kira 55 peratus. Bermakna kerajaan hanya ‘menderma’ kepada syarikat tersebut untuk kerja merawat baki 45 peratus air yang tidak sampai kepada pengguna.

Semua kos yang membebankan ini adalah angkara kerajaan BN dahulu. Jika ada rakyat yang marah kerana kenaikan tarif air ini marah suruhlah mereka marahkan BN sebab BNlah yang jadi punca kenaikan tersebut.

+++++++++++++++++++

Senjata makan tuan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: