Hukum wakil rakyat yang menang melompat keparti lain.

APA KATA UTUSAN ONLINE (http://www.utusan.com.my)

Baiah politik parti pembangkang

Oleh ZULKIFLEE BAKAR: pengarang@utusan.com.my

Keshvinder Singh ADUN Malim Nawar yang mengumumkan keluar daripada DAP menyebabkan terbongkar perjanjian ganti rugi RM5 juta jika wakil rakyat PKR melompat parti.

TIDAK berapa dahulu kita didedahkan mengenai bagaimana wujudnya amalan baiah cerai talak tiga dalam Pas bagi memastikan tidak ada wakil rakyatnya melompat parti.

Pendedahan itu mengejutkan banyak pihak kerana sebagai sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam adalah tidak wajar baiah yang menuntut cerai taklik dilakukan.

Walaupun tidak semua wakil rakyat Pas melakukan baiah tersebut tetapi apa yang pasti ia diakui dilaksanakan.

Malahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu mempunyai rahsia tersendiri dalam menyekat wakil rakyatnya daripada melompat parti.

Hujah Abdul Hadi, rahsia tersebut ialah baiah yang merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah SWT dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon.

‘‘Perbezaan kekuatan Ahli Dewan Undangan Negeri Pas ialah baiah berjanji dengan Allah SWT jika kami menipu, khianat dan menyeleweng kami akan dilaknat oleh Allah SWT, oleh malaikat dan segala yang melaknat,’’ katanya.

Rupa-rupanya selain Pas, rakan baiknya, DAP juga akan mewujudkan perjanjian bagi menghalang wakil rakyatnya melompat parti.

Jika Pas melibatkan sumpah, DAP Perak pula melibatkan soal kewangan apabila akan mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, semua wakil rakyat DAP sebelum ini telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008, bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan.

Persoalannya, apakah wajar Pas dan DAP mewujudkan baiah sedemikian hanya semata-mata untuk menghalang mereka kehilangan kerusi apabila wakil rakyatnya melompat parti?

Yang manakah lebih utama, terus berada di dalam parti tanpa melakukan apa-apa yang diamanahkan atau dijanjikan kepada rakyat atau keluar parti bagi membolehkan nasib rakyat dibela?

Kalau dikaji, kesemua wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar parti adalah disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti dan merasakan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan berkesan selagi berada dalam pembangkang.

Sebelum ini mereka bertindak menjadi calon kepada pembangkang kerana merasakan parti mereka akan menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Tetapi setelah memenangi kerusi dalam pilihan raya ternyata mereka mendapati kepimpinan parti mereka lebih banyak mahu berpolitiking dan mengabaikan harapan rakyat.

Oleh itu daripada terus dilihat mengkhianati amanah rakyat adalah lebih baik mereka mencari laluan supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Apakah hasrat seperti ini dilihat salah sehingga perlu ‘dihukum’ RM5 juta atau dianggap akan dilaknat akibat melompat parti?

Dalam Islam yang manakah lebih berdosa, terus menikmati segala keistimewaan sebagai wakil rakyat tanpa melakukan apa-apa untuk kesejahteraan rakyat serta bersekongkol dengan kepimpinan yang lemah atau keluar parti untuk demi memastikan nasib rakyat terbela?

Apa yang dilakukan oleh Pas dan DAP dalam soal baiah ini adalah jelas demi kepentingan dan survival politik mereka sahaja. Walaupun mereka tahu bahawa mereka tidak mampu memberikan peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan wakil rakyat mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan tetapi itu tidak penting.

Apa yang lebih mustahak bagi mereka ialah memiliki kerusi sama ada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, soal wakil rakyat mereka membuat kerja untuk rakyat atau tidak, ia soal kedua.

Lebih malang lagi, sebahagian pemimpin pembangkang tidak pula menganggap ia satu pengkhianatan atau dilaknat jika ada wakil rakyat BN ingin menyertai pembangkang.

Ada antara pemimpin utama mereka berhujah bahawa tindakan itu tidak salah dari sisi Islam kerana kononnya keluar dari perjuangan yang tidak baik bagi menyertai perjuangan yang baik.

Malahan ketika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menguar-uarkan rancangan 16 September, hampir kesemua pemimpin pembangkang menyokongnya. Ketika itu semuanya ghairah untuk melihat pembangkang menguasai kerajaan pusat melalui pintu belakang.

Tetapi apabila rancangan itu gagal dan menyaksikan semakin ramai wakil rakyat pembangkang menjadi wakil rakyat bebas, maka keluarlah pelbagai hujah bagi mengutuk tindakan tersebut.

Inilah permainan politik yang ada kepada pembangkang di negara kita sekarang. Apa sahaja yang menguntungkan mereka tidak apa tetapi kalau merugikan mereka tidak boleh.

Justeru adalah lebih baik jika pemimpin-pemimpin pembangkang berfikiran terbuka dalam soal melompat parti ini. Kita bukanlah menyokong perbuatan melompat parti tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh membiarkan sahaja mana-mana wakil rakyat dituduh ‘makan gaji dan elaun buta’ .

Apabila rakyat mengundi seorang calon, mereka menaruh harapan bahawa wakil rakyat yang dipilih itu mampu membela nasib mereka. Tetapi apabila keadaan sebaliknya berlaku, sudah tentu wakil rakyat yang benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat tidak mahu duduk diam. Mereka menjadi wakil rakyat bukan semata-mata untuk mencari kuasa politik tetapi hendak berkhidmat untuk rakyat.

Bagi kepimpinan Pas dan DAP tidak apa kalau wakil rakyat mereka tidak buat kerja atau tidak menunaikan janji untuk rakyat yang penting jangan lompat parti.

Ia kerana jika perbuatan itu dilakukan maka ia akan mengurangkan kuasa politik mereka. Ertinya, apa sahaja yang hendak dilakukan oleh parti pembangkang bukanlah semata-mata untuk rakyat tetapi segalanya melibatkan kuasa politik dan merebut kuasa.

Justeru daripada Pas dan DAP membuat baiah atau perjanjian yang bukan-bukan adalah lebih baik mereka memperbaiki kelemahan yang ada pada mereka.

APA KATA DETIKDAILY (http://www.detikdaily.net)

Muzakarah Adun lompat parti, persoalan cuba disembunyikan

Oleh Dr Khairuddin Abd Malik:  Posted on Wednesday, October 20 @ 01:20:51

Saya ingin memberikan beberapa penjelasan tambahan berkenaan isu ADUN lompat parti khususnya kejadian 26/01/09 hinggan 03/02/09 yang berlaku di Perak. Merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Puteri UMNO Perak dan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Perak (MS PK4 Akhbar Sinar Harian 18/10/10).

Juga merujuk (MS PK5 akhbar yang sama) tentang pandangan Mufti Perak  bahawa lompat parti adalah dibenarkan dalam Islam dengan syarat ADUN lompat terus berkhidmat kepada pengundi.

Berikut penjelasan saya :

1)      Muzakarah 17/10/10 yang diadakan di sebuah Hotel di Ipoh adalah sepenuhnya inisiatif peribadi Dato Thasleem Mohd Ibrahim, Pengerusi Majlis Tindakan India Muslim Malaysia (MTIMM). Faktor utama yang beliau rasakan ‘wajib’ mengadakan majlis tersebut adalah kerana sebagai seorang Muslim beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena tentang fenomena ADUN lompat dari segi perspektif Islam. Sementelahan pula pelbagai surat yang beliau hantar kepada pihak-pihak yang berkelayakan termasuk kepada majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti-mufti Negeri tidak mendapat jawapan. Yang adapun daripada mufti Perak bukan jawapan dari Majlis Fatwa Perak tetapi pendapat peribadi yang tidak langsung disertakan hujjah-hujjah Al Quran, Al Hadis ataupun pandangan ulama muktabar. Untuk berlaku adil, penganjur telah menjemput semua pihak yang berkepentingan Islam termasuk ulama-ulama , parti politik, Kedutaan Asing dan NGO-NGO Islam.

2)      Untuk pemimpin-pemimpin UMNO mengatakan muzakarah tersebut retorik dan membuang masa adalah keterlaluan. Membedah siasat kemungkaran untuk dijadikan satu iktibar kepada generasi mendatang bukan membuang masa! Menentang  kemungkaran bahkan berkait langsung dengan persoalan keimanan dan persoalan dosa serta pahala.

3)      Islam adalah agama yang syumul (sempurna). Jika persoalan sekecil masuk keluar tandas pun ada adab dan nilai pahala/dosa tidak mungkin persoalan politik yang besar seperti ADUN lompat, pecah amanah tentang janji kepada pengundi, kepada pekerja dan pemimpin parti (yang berhabis-habisan semasa kempen piliharaya) tidak ada hukumnya dalam Islam. Pecah amanah adalah sifat-sifat orang munafiq.

4)      Persoalan ADUN lompat kerana kononnya demi menyelamatkan bangsa adalah juga perkara yang sangat subjektif dan perlu di adili. Benarkah ada penggadaian bangsa oleh Kerajaan PR Perak (KPRP) (March 2008 – Februari 2009). Jika memberikan geran bantuan kepada Sekolah-Sekolah Swasta Cina oleh KPRP dianggap menggadai bangsa kenapa ADUN-ADUN yang sama tidak mengistiharkan tidak lagi menyokong Kerajaan BN Perak (KBNP) apabila Dr. Zambry mengumumkan bantuan RM 400,000 kepada setiap Sekolah Swasta Cina dan menyerah tanah seluas 1,000 Hektar kepada Sekolah-Sekolah yang sama pada awal tahun ini. Bahkan antara acara rasmi awal Dr. Zambry sebagai MB Perak pada 08/02/2009 (hari ke 3 menjadi MB) adalah lawatan dan anugerah RM 100,000 kepada sebuah kuil di Ipoh. ADUN-ADUN Behrang dan Changkat Jering tak pernah pula membantah . Tidak hairan kerana mufti pun tidak beri respon!

5)      Adakah sesuatu yang wajar bagi satu parti politik yang memperjuangkan bangsa dan agama (UMNO) dan ADUN-ADUN lompat yang keluar PR dengan alasan nak selamatkan bangsa terpalit dengan pelbagai perkara yang memalukan agama dan bangsa (ingat bagi orang-orang Melayu Islam dan Melayu itu sinonim). Bagi Umno & agen-agen upahannya, mereka terpalit dengan perangkap rasuah, perangkap sex, culik dan ugut ADUN (26/01/09 – 03/02/09). Bagi ADUN-ADUN lompat pula rela untuk di culik, ugut dan diberikan pelbagai imbuhan. Ingat Islam tidak pernah mengizinkan perlakuan dosa demi sesuatu perjuangan yang kononnya benar. Falsafah “tujuan menghalalkan cara” ciptaan laknatullah Machiavelli yang dianuti secara taat oleh UMNO adalah falsafah neraka.

6)      Untuk Mufti Perak secara ‘Superficial’ memberikan hukum lompat ADUN adalah harus (atau? Sunat) tanpa kajian teliti, tanpa merujuk kepada rakan-rakan Ahli majlis Fatwa Negeri yang lain adalah satu tindakan tidak amanah kepada tugasnya. Tidakkah Mufti ingin mengambil kira faktor-faktor : latar belakang kes, perangkap-perangkap mungkar yang digunakan, imbuhan-imbuhan yang diberi dan pelbagai lagi. Menjatuhkan hukum tidak semudah memberikan ceramah “Melayu hilang kuasa jika berpecah” yang menjadi zikir dan mantera Mufti Perak kini. Yang pasti adalah Melayu akan hilang kuasa jika Islam tidak dijadikan dasar perjuangan dan pemerintahan. Kerana Melayu-Melayu yang nak diajak bersatu sudah mencapai angka jutaan adalah penghidap-penghidap HIV, penagih dadah, pelaku zina & anak-anak luar nikah, perasuah-perasuah, pembunuh dan pelaku bunuh diri (suicide).

7)      Jika pula Mufti Perak mengetahui latar belakang kes (perangkap sex, culik, rasuah dan sebagainya) tetapi akur tentang lompat parti dan rampas kuasa BN terhadap Kerajaan PR Perak itu sesuatu yang absah, tindakan mufti tersebut adalah merupakan amalan-amalan dan sikap assobiyah yang sangat klasik. Menyokong kezaliman kerana pelakunya kawan atau puak-puak yang kita suka adalah tindakan yang sama zalim dan ditolak oleh Rasulullah sebagai bukan dari golongan orang-orang yang beriman. Untuk mufti mengatakan ADUN lompat tersebut bersih dari segala noda mungkar tajaan pemimpin-pemimpin besar UMNO adalah petunjuk bahawa mufti sangat naïf dan tidak berwibawa. Jika beliau mendakwa memang naïf, penulis dapat membuktikan ianya satu pembohongan. Pada 03/02/09 jam 10.00 malam di kediaman mufti, penulis sendiri bersama 5 orang saksi memperdengarkan bukti sahih bagaimana rintihan seorang isteri ADUN lompat minta ditolong kerana suaminya diculik oleh agen-agen UMNO. Takkan mufti sudah lupa.

8)      Akhir kalam untuk UMNO menolak hadir muzakarah ilmiah dan syarie anjuran NGO bebas pada 17/10/10 sedangkan PAS hadir dengan segala amanahnya adalah bukti dan testimoni bahawa UMNO tidak berani berhadapan dengan kebenaran hujjah-hujjah agama. Setakat berani berhujjah dengan retorik bangsa Melayu dan agenda pembangunan yang entah kemana adalah terlalu rapoh. Bahkan terkini Presiden UMNO Dato Najib juga mengakui isu pembangunan sebagai agenda mendapatkan sokongan sudah tidak berkesan. Maknanya apa ? Rakyat semakin berilmu, celik, kritis dan bijak untuk menilai : Ilmu & intelek Vs retorik, moraliti Vs korupsi dan demokrasi, syura Vs anarki & Machiavelli.

Sekian, untuk renungan terakhir, mari bersama meneliti hadis berikut:

“Tiada seorang pun pemimpin yang mengendalikan urusan orang-orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh menguruskan mereka dan tidak memberikan nasihat (agama) kepada mereka, melainkan dia tidak akan dapat masuk syurga bersama-sama mereka”. (H.R. Muslim)

Saudaramu dalam Iman,

Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato’ Abd. Malik

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak

Ahli Majlis Perunding MAPIM.

+++++++++++++++++

Mengapa tidak melompat sebelum hari mengundi? Jawabnya tak akan merasa jadi wakil rakyat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: