Lagi “Air oh air”

APA KATA DR. KHIR TOYO MANTAN MB SELANGOR YANG DITUMBANGKAN RAKYAT (http://www.drkhir.com)

Air oh Air: Kerajaan Negeri Hampir Muflis?

Dr. Khir Toyo:

Saya baru terbaca FAQ oleh kerajaan Selangor yang diulas oleh Selangordaily.com. dan juga salah seorang pengunjung di sini.

Dalam fasal 3 FAQ tersebut berbunyi:

• Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan cadangan untuk mengambil alih kesemua aset syarikat-syarikat konsesi tersebut, dan membayar ekuiti pelaburan mereka pada kadar 12 peratus setahun. Jumlah ini dijangka menjadi RM5.7 bilion (iaitu nilai aset berjumlah RM4.6 bilion, nilai ekuiti bernilai RM1.1 bilion).

• Jika cadangan ini diterima, barulah Kerajaan Negeri Selangor memindahkan RM4.6 bilion nilai aset syarikat-syarikat konsesi, dan RM9.7 bilion nilai aset air milik Kerajaan Negeri kepada PAAB.

• Hasil daripada jualan aset berkaitan air itu nanti, Kerajaan Negeri Selangor dijangka menerima RM14.3 bilion dalam bentuk tunai dan bon daripada Kerajaan Persekutuan.

Apa guna kerajaan negeri membeli syarikat tersebut dan kemudiannya menjual pula kepada kerajaan persekutuan? Lebih baik kerajaan persekutuan beli terus.

Saya juga tertanya-tanya bagaimana janji mereka mahu menurunkan tarif air kepada 24% sedangkan mereka sendiri ingin menjual kesemua kosensi pengurusan air ini?

Ada satu lagi fasal yang menarik iaitu fasal 6 dalam FAQ tersebut yang menyatakan:

• Kerajaan Persekutuan masih terus menolong syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional. Syabas didapati menaja Perhimpunan Agung Tahunan UMNO, termasuk tahun 2009.

Seingat saya sebagai Ahli MT, tidak pernah dimaklumkan tajaan syabas kepada perhimpunan Agung UMNO termasuk pada 2009. Saya juga tidak nampak sebarang bukti nyata tajaan syabas. Ini berbeza sekali dengan Muktamar Pas 2009 yang menyaksikan Puncak Niaga (salah satu yang dituduh kroni UMNO) telah menaja banting dan buku cenderamata muktamar tersebut.

Sekarang Puncak niaga kroni siapa pula?

Tulisan Asal

1. Saya pernah menyarankan agar kerajaan negeri dibenarkan mengambil alih pengurusan air negeri di Lembah Klang. Sila baca Antara Slogan dan Realiti: Biarkan Kerajaan Negeri Uruskan Air Selangor.

2. Sehingga hari ini dilaporkan kemelut ini belum selesai. Hanya konsortium ABBAS yang 55% sahamnya dimiliki oleh Kumpulan Perangsang Selangor (anak syarikat kerajaan negeri) yang bersetuju dengan tawaran kerajaan negeri. Manakala lain-lain syarikat yang terbabit menolak

3. Manakala syarikat lain seperti Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) Puncak Niaga Holdings Bhd dan Syarikat Bekalan air Selangor telah menolak tawaran Kerajaan Negeri yang mereka anggap rendah dan merugikan.

4. Saya tertanya-tanya apakah kerajaan negeri serius dalam mengemukakan tawaran pengambil alihan atau sekadar “bermain politik” bagi mencari populariti tanpa perlu bekerja.

5. Kerajaan Negeri membuat tawaran yang rendah agar para pemegang saham syarikat-syarikat ini menolak tawaran tersebut. Ini sekaligus membantu melepaskan segala beban janji mereka.

6. Pengurusan air hari ini merupakan satu industri yang memakan kos yang tinggi. Selain sungai yang tercemar, sumber air bawah tanah juga kian berkurangan. Ini menyebabkan kerajaan Persekutuan terpaksa memperuntukkan hampir RM 12 bilion bagi menyediakan infrastruktur penyaluran air dari Pahang. Pengurusan air di Selangor nanti juga perlu membayar harga air mentah ini kepada Pahang.

7. Justeru amat mustahil untuk kerajaan negeri memenuhi janji mereka bagi menurunkan harga air jika mereka mengambil alih pengurusan. Jika kita baca kenyataan mereka semuanya bersifat retorik sahaja. Mereka tidak pernah mendedahkan bagaimana mereka boleh menurunkan harga air tanpa memperjudikan kualiti air, paip dan juga kuantiti yang mencukupi.

Tiada Air Percuma Dalam Erti Kata Sebenar

8. Tahun ini sahaja kerajaan negeri perlu membayar hampir RM 200 juta (setahun)kepada Syabas sebagai tampungan subsidi air sebanyak RM 17 juta sebulan. Sebenarnya tiada istilah air percuma seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan negeri. Apa yang berlaku ialah bayaran tersebut telah berpindah daripada RM 11.40 sebulan bagi sebuah rumah kepada perbelanjaan kantung kerajaan sebanyak RM 200 juta setahun.

9. Ini bermakna kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM 200 juta bagi tahun ini. Pengurangan ini bermakna akan mengurangkan aktiviti ekonomi sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan kepada perniagaan kecil dan sederhana. Akhirnya kesan tersebut akan kembali kepada rakyat yang menjadi peniaga dan pekerja – pendapatan, upah dan bonus akan berkurangan.

10 Lebih serius, pendapatan kerajaan negeri enam bulan pertama tahun ini hanya separuh daripada unjuran sebenar. Kerajaan negeri mengunjurkan pendapatan sebanyak RM 700 juta dalam enam bulan pertama tahun ini, namun jumlah yang diperolehi hanyalah RM 450 juta.

11. Jika keadaan ini berterusan sehingga akhir tahun, kerajaan negeri akan mengalami belanjawan defisit dan boleh bankrupt dalam setahun dua akan datang jika terus diuruskan secara semberono berbelanja melebihi pendapatan.

12. Sebab itu kita dapati usaha-usaha untuk menguasai pengurusan air negeri hanyalah cakap-cakap retorik politik. Mereka tahu tawaran pembelian tersebut tidak akan diterima kerana harga yang ditawarkan tidak memuaskan hati pihak yang ingin menjual. Mereka melakukan tawaran sedemikian supaya ia ditolak.

13.Maka pelbagai janji dibuat bagi membolehkan mereka menyalahkan kerajaan pusat pada masa akan datang termasuk menurunkan tarif air sehingga 24% dan mengekalkan air percuma.

14. Apabila kerajaan pusat mengambil alih nanti tentulah ia tidak boleh memberi air bersubsidi demikian kerana jika dilakukan ia harus membabitkan rakyat seluruh negara. Jika kos bagi Selangor sahaja mencecah RM 200 juta setahun, tentulah kos tersebut mencecah bilion ringgit apabila ia dilaksanakan di seluruh negara? Ini pasti tidak akan dapat dilakukan, apatah lagi dengan kos pembangunan terowong air Pahang-Selangor sahaja mencecah RM 12 bilion.

15. Inilah taktik kerajaan selangor hari ini. Dan tidak lama lagi kita akan menengar lagu air oh air ini akan terus didendangkan sama seperti lagu bangau oh bangau. Yang bakal menjadi mangsa nanti jika isu ini tidak diuruskan dengan betul ialah rakyat.

APA KATA MALAYSIAHARMONI (http://www.malaysiaharmoni.com)

Tiada krisis air, Selangor tolak kadar air naik

Friday, 23 July 2010 16:36 Wan Am

SHAH ALAM – Masalah yang bakal didepani rakyat Selangor bukan krisis kekurangan air, tetapi kadar air meningkat disebabkan keengganan kerajaan pusat Barisan Nasional menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada kerajaan negeri, sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air.

Badrul aminPengarah Penerangan Selangor, Dr Badrol Amin Baharom (gambar kiri) berkata, masalah kini di Selangor bukan kekurangan air tetapi tindakan kerajaan pusat yang segaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor.

Peter chin“Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air. Hujah Menteri Datuk Seri Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor semalam adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” ujar Badrol Amin.

Menurut beliau, pandangan Peter Chin (gambar kanan) tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada kerajaan pusat.

“Sekiranya kerajaan pusat Barisan Nasional terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, kami yakin kadar air akan meningkat disebabkan pembinaan projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berharga RM8 bilion, sedangkan kerajaan negeri dapat melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, pengurusan SYABAS yang tidak telus dan kegagalan Puncak Niaga menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air turut menjadi punca kadar air meningkat, selain pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi dan penswastaan industri air yang hanya menguntungkan kroni-kroni pimpinan politik.

“Antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang SYABAS yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu,” tambahnya lagi.

Beliau percaya rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, dan kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan bekesan.

“Kami menyeru agar kerajaan pusat mengakui air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik. Kami juga merayu kepada seluruh rakyat Selangor agar bertegas memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mengambilalih industri air di Selangor dan membantah penswastaan air di Selangor,” tegas beliau.

APA KATA BULETINONLINE (http://www.buletinonline.net)

Disebalik krisis air Selangor: Ada udang disebalik batu.

Tindakan demi tindakan yang diambil oleh kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerang negeri Selangor yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Disebalik kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang kononnya memberi amaran, Lembah Kelang akan menghadapi krisis air, sebenarnya didedahkan oleh Cik Elizabeth Wong yang disifatkannya sebagai ‘ada udang disebalik batu’

“Kita juga diserang tentang isu air. Kononnya, di negeri Selangor kita tak ada air. Sungai tidak mengalir. Empangan dah kosong. Dah kering. Paip pecah dan sebagainya,”ujarnya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penerangan Isu Semasa, dekat sini, semalam, Sabtu 31 Julai.

Menurut Elizabeth, kenyataan menakut-nakutkan dan mengugut rakyat oleh kerajaan pusat itu adalah bertujuan untuk memaksa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tunduk dan melangsungkan projek bekalan air dari Pahang ke Selangor.

Sedang apa yang berlaku sebenarnya, ada ‘kroni’ Umno/BN yang mahu mengaut untung jutaan ringgit wang rakyat dari perlaksanaan projek tersebut.

“Mereka sedang, kerajaan persekutuan sedang memaksa kita (kerajaan Selangor) untuk menghabiskan, menjalankan projek pengaliran air dari Pahang ke Selangor. Saya ingin ceritakan serba sedikit tentang projek ini, Projek Pahang-Selangor, ibarat air dibawa dari Pahang ke Selangor.

“bila ianya, projek ini dibentangkan, harganya atau kosnya RM3 bilion. Masa itu, (tahun) 2001. projek ini, pada awalnya ada dua empangan di Pahang. Lepas mereka siasat, buat kajian dan sebagainya, mereka potong, mereka keluarkan satu empangan. Tetapi kosnya telah naik sampai RM 9 bilion.

“Satu empangan, RM9 bilion. dua empangan, RM3 bilion. Ini adalah matematik Umno/BN,”kata Wong menerangkan kedudukan sebenarnya ‘isu air Selangor.

Sedang menurut Wong lagi, projek tersebut sebenarnya belum mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan Kajian Impaknya terhadap alam sekitar dipersoalkan.

Oleh yang demikian, katanya, kerajaan negeri Selangor telah bertindak untuk menangguhkan dahulu projek tersebut

“Sebab itu, mereka paksa kita, paksa kerajaan negeri Selangor, cepat-cepat habiskan projek dan sebagainya. Tapi kita kata nanti, ada masalah besar. Apabila mereka pecah tanah, yang EIA (Kajian Alam Sekitar), iaitu satu dokumen yang mengandungi kajian tentang alam sekitar dan sebagainya. Itu belum diluluskan.

“Tapi mereka terus pecah tanah. Lepas itu, mereka buat paip dan sebagainya, mereka korek tanah, masuk hutan dan sebagainya. Air sungai kita pun semua dah teruk. Kampung-kampung yang berdekatan dengan hutan, di Hulu Langat, banjir. Oleh sebab itu, kita stop. Kita kata tunggu. Biar kita kaji, apa yang sedang berlaku,”tegas Wong.

Katanya, ‘udang disebalik batu’ yang menghalang rundingan penstrukturan air antara kerajaan pusat dengan syarikat-syarikat swasta adalah ‘orang dari Cabang (PKR) Hulu Selangor, yang mahukan ‘laba’ berbilion ringgit.

“Di sebalik batu tu, memang ada udang besar. Besar udang ni. Dia adalah benda lain, dari cabang hulu Selangor. Pada masa ini, kita ada satu rundingan antara kerajaan pusat dengan syarikat-syarikat swasta dan juga kerajaan negeri Selangor tentang penstrukturan air.

“hampir satu setengah tahun, masih tak siap, kenapa? Udang besar ini yang menjadi penghalang. Dia nak billion-bilion ringgit. Tetapi dia tidak mahu keluar dari industri air. Dia masih nak mengawal, dia nak control syarikat air yang baru di negeri Selangor,”jelasnya.

Elizabeth yang pernah dilanda ‘kontroversi’ akibat kehidupan peribadinya diserang, menganggap serangan kerajaan pusat, Umno dan BN tidak menjejaskan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Bahkan, katanya, ia satu petunjuk bahawa apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor adalah benar dan terbaik untuk rakyatnya.

“Tak apa (kita diserang), kita memang boleh tahan. Setiap hari kita boleh diserang, tetapi kita rasa seronok. Ha, beza kan. Orang tak suka diserang tapi di Selangor kita ‘no problem’ kerana kita rasa kalau kita diserang sebegitu oleh puak-puak Umno/BN, ini (ia) bermaksud kita sedang membuat kerja yang amat bagus, yang terbaik untuk penduduk-penduduk atau warga negeri Selangor,”katanya

Turut hadir dalam majlis diatas adalah Penolong Setiausaha PASD Terengganu, Haji Hanafiah Mat, merangkap Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai

APA KATA DETIKDAILY (http://www.detikdaily.net

Kota Tinggi:

Malang bagi hampir 2,000 penduduk Felcra Sungai Ara di sini yang masih terpaksa menjalani kehidupan seperti zaman sebelum merdeka.

Masalah air yang masih membelenggu penduduk di sini sejak 20 hari lalu menyebabkan mereka berasa sangat terbeban dalam menjalani kehidupan harian terutama golongan ibu yang perlu menyelesaikan tanggungjawab membersih dan menyediakan makanan kepada isi rumah.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan gangguan bekalan air selama seminggu dan rungutan penduduk di sini namun masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan.

Seorang suri rumah, Bedah Karson, 55, berkata, dia berasa sangat penat kerana aktiviti membasuh pakaian mahupun pinggan-mangkuk kotor terpaksa dilakukan walaupun kuantiti air yang tidak mencukupi di rumahnya.

“Dalam rumah saya ada enam orang kesemuanya jadi banyak pinggan-mangkuk dan baju kotor yang perlu dibersihkan, dan saya terpaksa mengambil inisiatif lain dengan menggunakan punca air dari parit yang terletak kira-kira 60 meter dari rumah.

“Mujurlah anak saya meletakkan beberapa bungkus pasir di dalam parit dapatlah saya membasuh baju dan mandi setiap hari bersama anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kekurangan air menyebabkan anaknya tidak dapat mandi pada waktu pagi untuk ke sekolah dan hanya boleh membasuh muka dan menggosok gigi.

+++++++++++++++

Hai…Dr. Khir.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: