Kalau PR berbelanja dikata membazir, kalau BN dikata belanja berhemah agaknya.

APA KATA AGENDADAILY (http://www.agendadaily.com)

Bajet Selangor 2011 : peruntukan modal insan hanya membazir

Kerajaan negeri disifatkan membazirkan wang rakyat apabila mengunakan RM7.8 juta menerusi Bajet Selangor 2011 untuk meningkatkan pembangunan modal insan termasuk mengadakan program membasmi masalah sosial di kalangan rakyat ni negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Abdul Shukor Idrus berkata, peruntukan tersebut sebenarnya tidak perlu diberikan oleh kerajaan negeri untuk tujuan itu kerana jika pentabdiran Selangor hari ini tidak mengawal pertubuhan pusat-pusat hiburan, rumah urut, pub, pusat perjudian dan spa yang tumbuh dengan pesat pada hari ini.

Menurutnya, peruntukan RM7.8 juta untuk pembangunan modal insan di negeri itu termasuk melaksanakan kursus menggantikan Biro Tata Negara (BTN) dilihat tidak membawa apa-apa makna kerana pertubuhan pusat-pusat hiburan sedemikian adalah punca utama kepada masalah sosial dan keruntuhan akhlak serta moral rakyat Selangor khususnya generasi muda.

Sambil merujuk kepada pengumuman Bajet Selangor 2011 yang dibuat oleh Abdul Khalid itu, dinyatakan bahawa hasil cukai hiburan yang diperolehi oleh kerajaan negeri pada tahun ini meningkat kepada RM26.4 juta berbanding RM21.5 juta pada 2009.

Angka itu tidak lagi termasuk sasaran kerajaan negeri bahawa hasil cukai sektor itu di Selangor itu akan meningkat lagi kepada RM30 juta untuk tahun depan.

“Tidak ada makna kerajaan negeri memberi tumpuan meningkatkan pembangunan modal insan di Selangor ini dengan mengadakan 390 program, latihan dan kursus kepada rakyat sedangkan kerajaan negeri gagal menangani punca sebenar masalah sosial di negeri ini yang dihasilkan melalui pusat-pusat hiburan, urut, perjudian dan sebagainya.

“Jika kerajaan negeri terlalu mahukan hasil cukai daripada pusat-pusat hiburan ini, lebih baik sahaja kerajaan negeri peruntukan wang daripada pembangunan modal insan ini untuk tujuan menggalakkan pertambahan pusat judi, rumah urut, pub atau sebagainya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Shukor turut mempertikaikan sasaran pertambahan hasil cukai hiburan negeri pada tahun 2011 memandangkan kerajaan negeri tidak mendedahkan bilangan sebenar bilangan pusat hiburan, rumah urut, perjudian, pusat siber dan spa yang beroperasi pada tahun depan dalam pengumuman bajet tahun depan.

Katanya, jika alasan kerajaan kerajaan negeri menyatakan pertambahan hasil pada tahun depan dan tahun ini disebabkan peningkatan pemantauan yang dijalankan, alasan itu sebenarnya amat diragui sama sekali.

“Difahamkan kerajaan negeri tidak menaikkan cukai hiburan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bagaimana pula hasil pendapatan daripada industri itu di Selangor semakin meningkat setiap tahun.

“Ini yang peliknya, kerajaan negeri sebelum ini mengatakan tidak mengeluarkan lesen baru pusat hiburan, pub, rumah urut, pusat judi dan sebagainya tetapi hasil cukai meningkat begitu ketara sekali,” soalnya.-9/11/2010

APA KATA PREBETSAPU (http://prebetsapus.blogspot.com)

Sultan murka Yayasan Selangor membazir

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor di Asrama Tun Dr Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Isnin ini kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya yang melebihi RM300,000.

Ketika menyampaikan keputusan baginda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud, pada sidang media khas di Dewan Annex, di sini berkata, Sultan Selangor menyifatkan kos yang amat tinggi itu sebagai satu pembaziran dan tidak berfaedah.

“Baginda berpendapat wang itu lebih berfaedah jika digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan atau digunakan untuk membiayai lebih ramai pelajar daripada golongan kurang berkemampuan selaras visi, misi dan objektif penubuhan Yayasan Selangor.

“Baginda juga sudah dimaklumkan bahawa Datuk Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Yayasan Selangor sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara ini dan kos yang terbabit. Baginda menasihatkan Yayasan Selangor untuk lebih prihatin menguruskan kewangan dan fokus ke atas amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas penubuhannya,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Ramli berkata, pada mulanya baginda berkenan berangkat ke majlis itu atas dasar Yayasan Selangor adalah badan kebajikan kerajaan negeri yang bertanggungjawab memantapkan pendidikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan luar bandar Selangor.

Katanya, Sultan Selangor percaya keberangkatan baginda ke majlis itu dapat menyuntik semangat warga kerja yayasan berkenaan selain menghargai jasa badan itu dalam membantu meningkatkan pendidikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran yang dapat menjamin masa depan.

Di samping itu, beliau berkata, baginda berharap dapat bermesra dengan anak-anak di bawah kelolaan Yayasan Selangor dan untuk memberikan motivasi agar mereka dapat belajar dengan lebih gigih.

Pada asalnya majlis yang dicadangkan itu adalah majlis makan malam. Baginda berpendapat majlis makan malam akan membabitkan belanja yang tinggi dan menitahkan Yayasan Selangor mengadakan majlis makan tengah hari. Bagaimanapun, baginda terkejut dan amat dukacita apabila mendapat maklum kos untuk majlis itu amat tinggi, katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki, ketika dihubungi menafikan perbelanjaan majlis makan tengah hari itu melebihi RM300,00, sebaliknya hanya kira-kira RM285,000 bagi penyediaan makanan untuk 200 jemputan khas di meja diraja dan kira-kira 2,000 tetamu biasa.

Kita juga terpaksa menyewa tiga khemah besar kerana majlis diadakan di padang selain pelbagai perbelanjaan termasuk hiasan, kad jemputan, gimik persembahan dan sistem audio, katanya sambil menambah Yayasan Selangor sedia membatalkan majlis itu jika disarankan pihak atasan.

APAKATA DETIK DAILY (http://www.detikdaily.net)

Jabatan KM Melaka belanja RM329,871 selenggara sebuah kereta!

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB: Posted on Friday, November 12 @ 07:45:47

KUALA LUMPUR:  Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) dilapor membelanjakan RM329,871 untuk menyenggara sebuah kereta dari tahun 2005 hingga 2009. Kereta yang diguna JKMM bernombor plat MM5 dibeli pada harga RM117,476 pada tahun 2004, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2009

Penyenggaraan kenderaan bertujuan untuk memastikan kenderaan dapat berfungsi dengan baik, selamat digunakan dan mengurangkan kerosakan.

Bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009, JKMM telah membelanjakan sejumlah RM5.12 juta bagi tujuan penyenggaraan kenderaan.

Analisis Audit terhadap kos penyenggaraan bagi lapan buah kenderaan yang dipilih mendapati kos senggaraan adalah lebih tinggi berbanding kos perolehan kenderaan iaitu di antara 142.9 peratus hingga 280.8 peratus.

Kos senggaraan yang tinggi adalah disebabkan kenderaan tersebut mengalami masalah kerosakan enjin dan kotak gear. Kos senggaraan berbanding kos perolehan bagi tempoh 2006 hingga 2009

Pada pendapat Audit, pengurusan penyenggaraan di JKMM adalah tidak memuaskan kerana kos penyenggaraan adalah tinggi berbanding kos perolehan, kata laporan itu.

APA KATA MALAYSIAKINI (http://www.malaysiakini.com)

Minta rakyat berjimat tapi k’jaan sendiri membazir’

Jan 19, 10 1:06pm

PAS membidas kerajaan BN yang menurutnya meminta rakyat berjimat sedangkan ia sendiri membazir termasuk peruntukan ‘hangus’ RM1 bilion untuk sukan Formula 1.

idris ahmad pas information chief“Walaupun kerajaan BN bangga mengatakan telah berjimat RM 1.3 bilion (dengan mengurangkan subsidi gula), namun kerajaan bazirkan RM1 bilion dalam bajet 2010 untuk memajukan sukan F1 yang bukan melibatkan kepentingan atau faedah semua rakyat,” kata ketua penerangannya, Idris Ahmad.

Dasar meringankan beban tanggungan subsidi gula yang diperkenalkan kerajaan BN, kata Idris, menyebabkan kenaikan harganya sebanyak 20 sen.

“Dasar ini menunjukan bahawa kerajaan BN cuba melepaskan tanggungjawab ekonominya terhadap rakyat.

“Mungkin pada pandangan kerajaan 20 sen adalah nilai yang kecil bagi kenaikan sekilogram gula, tetapi rakyat risau dengan naiknya harga sedemikian sudah boleh dianggap besar sebab bukan gula sahaja yang ingin dibeli setiap bulan.

“Banyak lagi barang pengguna lain seperti tepung, beras, minyak masak dan sebagainya yang berkemungkinan besar akan naik,” katanya.

Menurut Idris lagi, kerisauan itu akan berterusan kerana harga gula tanpa subsidi boleh berubah, begitu juga dengan harga keperluan lain yang boleh berubah.

“Dasar Kerajaan BN yang mahu mengurangkan beban subsidi memang tidak digemari rakyat, apa lagi jika dalam keadaan sekarang kerajaan BN juga mahu perkenalkan dasar GST untuk hampir semua jenis barangan serta kenaikan cukai-cukai lain.

“Ini membuktikan Kerajaan BN sudah tiada wang untuk memerintah sebab telah banyak dibazirkan sebelum ini.

“PAS memahami kesulitan kerajaan dalam hal ini, namun sebarang kenaikan tidaklah wajar pada masa ini kerana negara masih mampu jika dasar berjimatnya betul,” tambahnya.

APA KATA NEGARAKITA (http://www.negarakita.com)

Bijaknya Khir Toyo mentadbir harta Selangor!

SUNGAI BESAR, 15 Feb (Hrkh) – Seorang anggota Umno Sungai Besar membuat aduan salah guna kuasa Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kelulusan sebidang tanah kepada kroni pemimpin Umno negeri itu.

Aduan dibuat Abdul Aziz Suloh di ibu pejabat BPR Putrajaya, 14 Februari, lalu.

Dalam aduan tersebut, beliau mempertikaikan pemberian tanah kerajaan melalui projek penswastaan tanah milik Jabatan Parit dan Saliran (JPS) kepada syarikat Rokeng Corporation Sdn. Bhd.

Syarikat Rokeng dengan no. pendaftaran 563347-D dimiliki Ahli Majlis MDSB, Dato’ Mohamad Mosloro Abdullah dan Hamidah Ahmad.

Ekoran pemberian tanah kepada syarikat Rokeng, pejabat JPS akan dipindahkan kerana kawasan tanah itu akan dibina rumah kedai tiga tingkat.

Katanya semua urusan pemberian tanah kepada Rokeng Corporation dibuat melalui orang kuat Khir Toyo iaitu Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Masloro Ahmad.

Beliau turut membuat aduan tentang pemberian tanah dusun rancangan Merbau Berdarah Am 1, Mukim Sungai Panjang kepada rakyat di daerah Sabak Bernam yang diluluskan oleh mesyuarat kerajaan negeri pada 14 Februari 2005 tetapi dibatalkan pada 20 Januari 2006.

Beliau mendakwa tanah tersebut telah diberikan kepada kroni-kroni Khir Toyo.

Dalam aduan itu juga Khir Toyo didakwa telah menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian 19 buah rumah di Taman Perwira daripada pemaju Perwira Bintang Sdn Bhd bernilai lebih RM3juta.

Sedangkan kata beliau, MDSB tidak mempunyai sumber kewangan dan diarah meminjam daripada Tabung Amanah SUK semata-mata mahu menyelamatkan projek perumahan yang tidak laku.

Tindakan rakus Khir Toyo telah menimbulkan kemarahan orang Melayu di Sungai Besar, tegasnya.

Tambah beliau, Khir berlagak baik ketika berada di luar Sungai Besar tetapi dengan pengundinya beliau seorang pemimpin diktator berlagak sombong dan cakap besar.

“Orang Melayu kalau sudah marah dengan sikap pimpinan Umno, jangan marah kalau Umno akan hancur,” katanya.

APA KATA TRANUNGKITE (http://www.tranungkite.net)

Banyak Projek Sakit di Pahang, pendedahan Ketua Audit

Berita Oleh: amkns: Posted on Friday, November 12 @ 18:30:00 PST

“Begitu banyak kepincangan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 untuk negeri Pahang. Dari projek perumahan rakyat yang banyak projek sakit dan lambat siap, rugi RM12 Juta. Pengurusan air rugi RM65 Juta. Royalti pasir rugi RM3.23 Juta. Yelah negeri Pahang, tempat Perdana Menteri, kawasan selamat UMNO lah katakan.

(Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010)

TV1, TV3, Utusan, Berita Harian takkan berani dedah laporan Ketua Audit untuk Johor, Pahang dan Melaka, PENGECUT ! Pembela Melayu konon.

Sila lihat foto-foto projek sakit, pencemaran sungai akibat perlombongan pasir dari buku Laporan Ketua Audit Negara pada pautan berikut http://amkns.blogspot.com/2010/11/banyak-projek-sakit-di-pahang.html

Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM) di Pahang banyak masalah seperti projek sakit, projek lewat disiapkan dan kelewatan mendapatkan kelulusan CFO. Kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM6.20 juta dan menanggung kos membaik pulih dan penyelenggaraan berjumlah RM5.97 juta.

Pengurusan Air Tidak Berhasil NRW kurang memuaskan kerana anggaran kehilangan hasil yang tinggi iaitu sejumlah RM65.50 juta pada tahun 2008 Hilang hasil daripada royalti pasir berjumlah RM3.23 juta.

Aktiviti perlombongan pasir telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar seperti berlakunya hakisan tebing sungai, pencemaran kawasan operasi, sehingga menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

Pengurusan pengendalian kes di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pahang adalah tidak memuaskan kerana kaedah dalam enakmen belum diwartakan dan sistem pautan e-Syariah tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Pelaksanaan Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani Fasa 1 adalah tidak memuaskan kerana berlaku kesilapan reka bentuk, kualiti kerja pembinaan yang rendah dan kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi.

Tahap pengurusan program pemberimilikan tanah di Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong adalah tidak memuaskan kerana Pejabat lambat menyelesaikan fail-fail permohonan dan telah menyebabkan hasil tanah lewat dipungut.

Pengurusan premis perniagaan Majlis adalah tidak memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan. Antaranya ialah ketidakpatuhan dalam kerja ubahsuai rumah rehat Bentong, harga bekalan yang tidak munasabah, pemborosan dalam perbelanjaan, kajian kemungkinan tidak dijalankan, penyenggaraan premis perniagaan tidak dijalankan secara berkala dan semakan semula kadar sewa premis tidak dibuat.

BAHAGIAN I – AKTIVITI JABATAN/AGENSI

1. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang – Pelaksanaan Dan Pengagihan Projek Perumahan Rakyat Dimiliki Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM) dilaksanakan adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri yang termampu, selesa dan selamat. Jabatan Perumahan Negara (JPN), Wilayah Timur Pahang bertanggungjawab melaksanakan projek PPRM manakala Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang bertanggungjawab menguruskan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak. Pelaksanaan projek PPRM secara keseluruhannya menghadapi banyak masalah seperti projek sakit, projek lewat disiapkan dan kelewatan mendapatkan kelulusan CFO. Masalah ini adalah disebabkan ketidakcekapan Juruperunding dan kontraktor dalam melaksana serta menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan projek dengan berkesan. Akibatnya pihak Kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM6.20 juta yang sepatutnya boleh dielakkan. Selain itu, proses penawaran rumah yang memakan masa lama telah mengakibatkan pemohon lewat dapat menduduki rumah. Manakala rumah yang terbiar kosong untuk tempoh yang lama mengakibatkan pihak Kerajaan terpaksa menanggung kos membaik pulih dan penyelenggaraan berjumlah RM5.97 juta.

2. Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Pahang – Pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut Terhadap Agensi Kerajaan Negeri Pahang Pinjaman Boleh Dituntut adalah merupakan pinjaman yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada Agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menggunakan sumber Kerajaan Negeri atau pinjaman yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan. Pinjaman yang diberi diperoleh daripada tiga sumber iaitu Akaun Hasil Disatukan, Kumpulan Wang Pembangunan (termasuk juga pinjaman yang dibuat daripada Kerajaan Persekutuan) dan Kumpulan Wang Amanah. Had peruntukan pinjaman adalah ditetapkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Sehingga akhir tahun 2009, baki Pinjaman Boleh Dituntut bagi Agensi dan PBT di Negeri Pahang telah mencatatkan kenaikan sedikit sejumlah RM1.03 juta atau 0.4% daripada RM239.57 juta pada tahun 2008 kepada RM240.60 juta. Secara keseluruhannya, pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut adalah tidak memuaskan disebabkan bayaran balik pinjaman oleh Agensi dan PBT yang tidak mengikut syarat perjanjian. Selain itu, kekurangan penguatkuasaan terhadap Agensi dan PBT yang tidak mematuhi atau telah ingkar kepada syarat–syarat perjanjian juga menyebabkan tunggakan baki bayaran balik pinjaman boleh dituntut semakin meningkat. Kesan daripada ini telah menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menanggung beban hutang yang semakin meningkat kepada Kerajaan Persekutuan. Keadaan ini seterusnya menjejaskan perancangan pembangunan ekonomi Kerajaan Negeri dalam memastikan ia mencapai matlamat seperti yang telah ditetapkan di dalam Bajet Tahunan Kerajaan Negeri yang telah diluluskan.

3. Jabatan Pertanian Negeri Pahang – Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani Di Kampung Awah, Maran Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani di Kampung Awah, Maran telah mula dirancang untuk dilaksanakan di bawah RMKe-9. Projek ini merupakan projek Jabatan Pertanian Negeri Pahang yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang. Pembinaan Akademi Usahawan Tani bertujuan untuk melahirkan usahawan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta progresif bagi membawa industri pertanian lebih maju dan berdaya saing. Projek pembinaan Fasa 1 telah disiapkan pada 18 Oktober 2006 dengan kos berjumlah RM6.86 juta. Manakala, tarikh siap projek Fasa 2 mengikut kontrak adalah pada 16 April 2010 dengan kos berjumlah RM2.53 juta. Secara keseluruhannya, tahap pelaksanaan Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani Fasa 1 adalah tidak memuaskan kerana berlaku kesilapan reka bentuk, kualiti kerja pembinaan yang rendah dan kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi. Selain itu, ketiadaan perancangan awal yang teliti telah menyebabkan banyak pengubahsuaian dilakukan setelah projek siap dilaksanakan dan pihak kontraktor juga telah menggunakan Table Tender Drawing dan bukan Construction Drawing sebagai rujukan semasa menjalankan kerja pembinaan.

4. Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong – Pengurusan Pemberimilikan Tanah Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong adalah merupakan Agensi utama yang bertanggungjawab terhadap semua aspek pentadbiran tanah dan pembangunan daerah di Pentadbiran Daerah Bentong. Tanggungjawab utama Pejabat ini adalah merancang pembangunan tanah, pemberian hak milik tanah selain menguatkuasakan undang-undang, pungutan cukai dan hasil berkaitan tanah. Daerah Bentong telah dibahagikan kepada 3 Mukim iaitu Bentong, Sabai dan Pelangai dengan jumlah keluasan 183,112 hektar. Jumlah hak milik tanah di Daerah Bentong pada tahun 2009 adalah sebanyak 42,988. Secara keseluruhannya, tahap pengurusan program pemberimilikan tanah di Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong adalah tidak memuaskan kerana Pejabat lambat menyelesaikan fail-fail permohonan dan telah menyebabkan hasil tanah lewat dipungut. Selain itu, prestasi Pegawai Petempatan juga kurang memuaskan kerana tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Arahan Pentadbiran Tanah Negeri.

5. Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Pahang – Pengurusan Aktiviti Pengambilan Pasir Sungai Dan Kesannya Kepada Alam Sekitar Pengusaha pasir perlu memohon dan mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan bagi memastikan aktiviti yang dijalankan tidak memberi impak negatif terhadap alam sekitar. Kegagalan pengusaha memohon untuk mengambil pasir di Kuala Sungai Miang telah menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil daripada royalti berjumlah RM3.23 juta. Selain itu, kegagalan pengusaha mematuhi syarat yang ditetapkan telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar seperti berlakunya hakisan tebing sungai, pencemaran kawasan operasi, perubahan kepada regime sungai sehingga menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

6. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang – Pengurusan Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah Negeri Pahang Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (Jabatan) telah ditubuhkan pada 19 Januari 1995 yang sebelum itu dikenali sebagai Mahkamah Qadhi di Jabatan Agama Islam Pahang. Jabatan ini bertanggungjawab mengurus, mendengar dan memutuskan kes-kes di semua peringkat Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan di dalam pengurusan Kes Mal dan Kes Jenayah. Jabatan ini mempunyai dua Mahkamah Tinggi Syariah dan 12 Mahkamah Rendah Syariah di seluruh Negeri Pahang. Berdasarkan Laporan Statistik e-Syariah pada tahun 2009, sebanyak 4,610 Kes Mal dan Jenayah telah didaftarkan dan sebanyak 2,301 (49.9%) belum selesai perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pahang. Secara keseluruhannya, pengurusan pengendalian kes di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pahang adalah tidak memuaskan kerana kaedah dalam enakmen belum diwartakan dan sistem pautan e-Syariah tidak dilaksanakan sepenuhnya.

7. Jabatan Bekalan Air Negeri Pahang – Pengurusan Air Tidak Berhasil (NRW)

Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water (NRW)) adalah jumlah kuantiti air yang disalurkan ke dalam sistem agihan tetapi tidak memberi pulangan hasil kepada agensi yang menguruskan bekalan air. Melalui Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9), Jabatan Bekalan Air Negeri Pahang (JBA Pahang) telah diberi peruntukan sejumlah RM150.34 juta untuk melaksanakan program bagi mengurangkan NRW. Sehingga akhir tahun 2009, sejumlah RM121.03 juta (80.5%) telah dibelanjakan termasuk RM6.20 juta untuk projek bukan NRW. Secara keseluruhannya, pengurusan NRW di Negeri Pahang adalah kurang memuaskan kerana anggaran kehilangan hasil yang tinggi iaitu sejumlah RM65.50 juta pada tahun 2008, dua meter pengeluaran yang dibeli pada tahun 2003 tidak dipasang dan meter yang dipasang sukar dibaca. Selain itu, pemantauan terhadap penggunaan tanpa kebenaran tidak dijalankan menyebabkan banyak berlaku kes kecurian air.

8. Majlis Perbandaran Bentong – Pengurusan Premis Perniagaan Pengurusan premis perniagaan adalah di bawah tanggungjawab Majlis Perbandaran Bentong (Majlis). Sehingga akhir tahun 2009, Majlis mempunyai 1,974 pegangan premis perniagaan yang terdiri daripada rumah kedai jenis teres, bangunan kedai sesebuah dan lot perniagaan dalam kompleks perniagaan. Secara keseluruhannya, pengurusan premis perniagaan Majlis adalah tidak memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan. Antaranya ialah ketidakpatuhan dalam kerja ubahsuai rumah rehat Bentong, harga bekalan yang tidak munasabah, pemborosan dalam perbelanjaan, kajian kemungkinan tidak dijalankan, penyenggaraan premis perniagaan tidak dijalankan secara berkala dan semakan semula kadar sewa premis tidak dibuat. Selain itu kaedah kutipan tunggakan sewa kurang berkesan manakala promosi kurang dijalankan.

BAHAGIAN II – PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI

9. LKPP Corporation Sdn. Bhd. LKPP Corporation Sdn. Bhd. (LCSB) telah memulakan operasinya pada 1 Mac 1994 dengan modal saham dibenarkan berjumlah RM50 juta dan modal saham berbayarnya setakat ini sejumlah RM49.46 juta. LCSB merupakan syarikat subsidiari kepada Agensi Kerajaan Negeri Pahang iaitu Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) dengan 100% modal saham berbayarnya adalah dimiliki oleh LKPP. Visi syarikat adalah sebagai peneraju utama dalam pembangunan industri pertanian dan industri pemprosesan yang berkaitan seperti pengurusan ladang, pemprosesan minyak sawit, pelancongan tani dan penternakan. Secara keseluruhannya pengurusan syarikat LCSB adalah baik. Prestasi kewangan syarikat berada pada kedudukan yang kukuh dan prestasi aktiviti juga adalah baik. Namun pengurusan tadbir urus korporat syarikat perlulah dipertingkatkan bagi menjadikan LCSB sebagai syarikat yang lebih berdaya saing dan membawa keuntungan yang tinggi kepada syarikat serta menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi Negeri Pahang.

10. LKPP Padi Sdn. Bhd.LKPP Padi Sdn. Bhd. (LPSB) merupakan syarikat subsidiari kepada Agensi Kerajaan Negeri Pahang iaitu Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) yang memiliki 100% modal berbayarnya. LPSB telah ditubuhkan pada 28 Jun 1995 dengan modal dibenarkan berjumlah RM10 juta dan modal berbayarnya setakat ini sejumlah RM5 juta. Penubuhan LPSB adalah bertujuan untuk membangunkan sawah komersial di kawasan tanah terbiar terutama di Daerah Rompin. Dalam mempelbagaikan aktivitinya LPSB juga terlibat dalam aktiviti pengeluaran ikan air tawar yang diusahakan secara sewaan kolam dan perladangan kelapa sawit yang diuruskan oleh syarikat subsidiari LKPP iaitu LKPP Corporation Sdn. Bhd.. Secara keseluruhannya, pengurusan syarikat LPSB adalah memuaskan. Prestasi kewangan syarikat adalah kukuh dan prestasi aktiviti juga adalah semakin meningkat dan membawa keuntungan kepada syarikat. Bagaimanapun, pengurusan tadbir urus korporat syarikat hendaklah dilaksanakan berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan dan secara lebih berhemat bagi menjadikan LPSB sebagai sebuah syarikat yang lebih berdaya saing.

11. PKNP Mineral Industries Sdn. Bhd.PKNP Mineral Industries Sdn. Bhd. (PMISB) merupakan syarikat subsidiari kepada Agensi Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan modal dibenarkan berjumlah RM100,000 dan modal berbayarnya setakat ini sejumlah RM2 dimiliki sepenuhnya oleh PKNP. Pada awalnya, PMISB dikenali sebagai BIM Land Sdn. Bhd. Telah ditubuhkan pada 13 Januari 1999 bagi memegang hartanah yang dimiliki oleh PKNP di Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Pada 27 April 2007, nama syarikat telah ditukar kepada PMISB setelah melibatkan diri dalam industri perlombongan bijih besi bagi pihak PKNP. Aktiviti utama PMISB adalah jualan hartanah dan perlombongan bijih besi dalam bentukusaha sama bagi pihak PKNP dengan beberapa syarikat yang diberi hak untuk melombong di tanah milik PKNP. Secara keseluruhannya, pengurusan syarikat PMISB adalah kurang memuaskan. Syarikat ini diwujudkan pada asalnya untuk menjalankan aktiviti berkaitan hartanah, namun syarikat telah mengalami kerugian daripada aktiviti ini. Kemudian syarikat beralih pula kepada aktiviti perlombongan bijih besi secara usaha sama dengan syarikat bersekutu. Syarikat telah menerima dividen daripada pelaburannya dalam aktiviti perlombongan bijih besi ini. Walaupun syarikat telah ditubuhkan melebihi tempoh 10 tahun, namun syarikat masih belum mempunyai struktur pengurusannya sendiri.

++++++++++++++++

Sultan Selangor dan Pahang apakah tidak melihat pembaziran dan pemborosan kerajaan BN? Ampun tuanku, raja adil raja disembah raja tak teliti raja tidak dihormati. Ampuuuuun tuanku!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: