Archive for the ‘Siapa berani dan siapa pengecut’ Category

Tun Abd. Razak takutkan komunis, Ds. Najib anaknya takutkan kartunis.

APA KATA UTUSAN MALAYSIA (http://www.utusan.com.my)

Kartunis Zunar ditahan di bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Kartunis portal pembangkang, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque, 49, hari ini ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon- O-Phobia yang menyentuh isu-isu sensitif dan boleh menganggu ketenteraman awam.

Beliau ditahan di pejabat penerbitan miliknya, Sepakat Efektif Sdn. Bhd., di sini kira-kira pukul 4 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan penahanan terbabit bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, turut dirampas 67 naskhah terbaru buku Cartoon-O-Phobia yang belum dilancarkan, selain beberapa keping lukisan miliknya.

Buku terbabit menyiarkan isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kehilangan jet enjin dan lain- lain.

Zunar ialah pemilik syarikat Sepakat Efektif yang menerbitkan buku Perak Darul Kartun manakala Mkini merupakan penerbit bagi buku 1 Funny Malaysia di bawah nama perdagangan Kinibooks.

Kartunis itu memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penjualan, penerbitan dan pengedaran dua buah buku kompilasi kartunnya, Julai lalu.

APA KATA DETIKDAILY (http://www.detikdaily.net)

Cartoon-o-phobia: Pelancaran buku tanpa buku dan pengarang

Oleh  Lim Hong Siang: Posted on Friday, September 24 @ 23:13:48.

Apa yang berlaku hanya membuktikan tajuk bukunya, CARTOON-O-PHOBIA.  Ia seolah-olah kartun, apabila pelancaran sesebuah buku kartun berlangsung tanpa kehadiran pengarang dan buku itu.  Zunar ditangkap empat jam sebelum koleksi kartun ketiganya dilancarkan, malah dipindahkan sebanyak lima kali dari IPD ke IPD dalam tempoh tujuh jam.

Isteri Zunar, Fazlina Rosley memperbarui status Facebook-nya pada kira-kira jam 1 pagi hari ini (25 September), yang memaklumkan bahawa suaminya kini berada di balai polis KLIA, ibu pejabat polis daerah kelima selepas tangkapannya pada jam 4 petang, semalam. 【Zunar ditangkap sebelum buku dilancar】

Biarpun sempat mempromosi buku ini, CARTOON-O-PHOBIA, sebelum mengakhiri ucapannya, Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berkata, “Kami tak ada buku di sini, kami tahu polis sedang mencarinya (ketawa).  Bagaimanapun, tempah satu naskah hari ini, tempah beberapa naskah, beri kepada kawan kamu, sebelum ia diharamkan.”

Bukan sahaja pejabat Zunar diserbu pada petang tadi, malah pencetaknya di Puchong dan pengedarnya, Gerak Budaya turut didatangi polis, menurut Steven Gan.  “Saya tidak tahu di mana buku itu…(tapi) dengan cara apa pun (by hook or by crook), kamu akan dapat salinan kamu (seandainya menempah pada malam ini),” katanya.

Kata-katanya menggelakkan kira-kira 150 orang yang hadir untuk menghangatkan suasana dalam majlis pelancaran buku CARTOON-O-PHOBIA di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (SCAH), semalam.  Ramai aktivis sosial dan orang awam tampil untuk memberi sokongan, walaupun tiada buku dijual dalam majlis pelancaran buku ini.

Ia seolah-olah kartun untuk haramkan buku

“Ia jadi seolah-olah kartun untuk mengharamkan buku,” kata Mohd. Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak yang hadir untuk melancarkan buku ini.  Beliau mengeluh bahawa kita kini hidup dalam suasana 30 atau 40 tahun terbelakang, kerana pengharaman buku hanya berlaku pada 20 tahun yang lalu.

“Kita tak pernah dengar, di negara Barat, kartun diharamkan.  Tak pernah sepanjang hidup saya nampak, apapun bentuk penyampaian kartunis diharamkan.  Tak pernah sebelum ini…” kata Nizar Jamaluddin.

Beliau melanjutkan bahawa pengharaman buku tidak membawa makna, kerana pada zaman terkini, maklumat boleh didapati dengan mudah dari sumber lain, misalnya internet.  Justeru itu, pengharaman buku hanya akan mencungkil minat orang ramai untuk mengetahui kandungan yang cuba diharamkan itu.

Pemimpin PAS ini sempat menyindir sepupu Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri, kerana turut menyumbang untuk mempromosikan buku Zunar.  Malah, Nizar Jamaluddin mempersendakan kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana tindak tanduk ini mencerminkan “Cartoon-O-Phobia”, bahkan Nizar mencadangkan supaya Wikipedia memberi definisi kepada istilah baru ciptaan tanah air ini.

Nizar Jamaluddin yang terpilih sebagai ahli parlimen dalam PRK Bukit Gantang pada April 2009 mengulas bagaimana hasil karya Zunar memupuk kesedaran generasi muda sejak pergerakan reformasi pada tahun 1998.  Beliau mengambil kesempatan untuk mengungkit apa yang berlaku di Perak, yang disifatkannya sebagai “kartun”, kerana tidak masuk akal.

Malah, beliau sempat melontarkan kritikannya terhadap UMNO-BN, yang disifatkannya “sudah sampai akhir hayat”.  “Hayatnya tinggal nyawa-nyawa ikan”, Nizar mengambil contoh isu ahli parlimen Serdang-DAP Teo Nie Ching dikecam UMNO kerana masuk surau, kritikan bekas PM Mahahir Mohamad terhadap dirinya dan sebagainya, untuk menyatakan bahawa semua serangan UMNO-BN ini akhirnya akan menikam diri.

Cara Zunar menunjukkan jari hantu…

Dalam ucapannya, Steven Gan memuji sikap Zunar yang tidak mahu mengalah.  Beliau berkata, “Mereka (kerajaan) telah mengharamkan tiga bukunya, nampaknya buku ini akan diharamkan kemudian.  Ini bukunya keempat yang bakal diharamkan.  Buku (baru) ini diterbitkan dalam masa beberapa bulan selepas bukunya diharamkan.  Ini merupakan cara Zunar untuk menunjukkan jari hantunya kepada autoriti, saya tak tahu…”

Malah, Steven Gan (gambar kiri) cuba membandingkan Zunar dengan seorang lagi kartunis yang terkemuka, Lat.  “…Zunar bukan Lat, beliau lebih hebat (better) daripada Lat,” penilaian Steven Gan ini disambut dengan tepukan gemuruh.

Beliau lantas menjelaskan bahawa ia tidak bererti hilang hormat terhadap Lat, tetapi Lat dilihat lebih selesa dalam zon selamat-nya, sementara Zunar lebih berani untuk mengambil risiko, dan kadang-kala “tanpa jaring keselamatan di bawahnya”.

Beliau yang sudah sekian lama berkecimpung dalam bidang media berkata, “Mungkin ia sesuatu perkara kecil untuk kamu letak Najib atau Mahathir di muka depan (buku).  Tetapi apabila kamu meletak seseorang yang nampak macam Rosmah (isteri PM Najib) di depan muka, kamu cari pasal sebenarnya.”

sms daripada Zunar…

Fazlina Rosley (gambar kanan) yang hadir ke majlis pelancaran buku memulakan ucapannya dengan merakamkan penghargaan kepada kawan, peminat dan penyokong Zunar.  “…Apalah kartun kan?  Kalau anak kita tanya, bapa kenapa kartunis, kan?  Macam rockers tu lagi rock.  Jadi, tanpa kalian semua, tanpa sokongan padu, career kartunis tu tidak dipandang tinggilah.

“Fazlina Rosley membacakan sms daripada Zunar yang dihantar selepas ditangkap, “Tangkapan ini tidak akan mengubah pendirian saya untuk membongkar penyelewengan dan korupsi kerajaan.  Malah tindakan ini mengesahkan tajuk buku bahawa kerajaan takut dengan kartun.  Mereka boleh kurung badan saya, tetapi mereka tak boleh kurung otak saya.  Saya bersedia tukar dari comic strip ke prison strip.”

Sementara itu, kira-kira 20 orang polis mengawal di pintu masuk SCAH, malah dikatakan cuba menyekat kemasukan orang ramai ke dewan itu untuk seketika, sebelum tindakan ini dibantah aktivis sosial, Wong Chin Huat.

Menurut Wong Chin Huat, beliau menyatakan protesnya bagi pihak SCAH atas alasan bahawa sekatan tersebut “akan mengakibatkan pengurangan pendapatan bayaran parking”.  Anggota polis yang mengawal di situ akhirnya mengalihkan kon sekatan, dan menafikan bahawa wujudnya sebarang sekatan mahupun halangan

+++++++++++++++

Takutkan kartunis itulah kartunis juga.

Nazri Aziz dan menteri BN sudah KO dibantai hanya oleh katak lompat dan kertas surat khabar.

APA KATA MALAYSIANINSIDER (http://themalaysianinsider.com)

Alahai Nazri… — Awang Selamat

19 SEPT, 2010 — Utusan pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka — Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan.

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti — Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh Umno. Nazri lupa, ketika Umno diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin Umno difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan Umno jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela Umno dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin Umno, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan. — Mingguan Malaysia

APA KATA DETIKDAILY (http://www.detikdaily.net)

Ibrahim beri tiga pemimpin Umno amaran, jangan pertikai Perkasa.

Oleh Syed Mu’az Syed Putra: Posted on Saturday, September 25 @ 18:05:16 PDT by tokdalang

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali memberi amaran kepada tiga pemimpin Umno supaya tidak lagi mempersoalkan perjuangan pertubuhan Melayu itu yang ditubuhkan dua tahun lalu untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut pernah mendakwa Perkasa boleh menjadi punca kepada BN kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Saya kenal siapa mereka, mereka sepatutnya tidak salahkan Perkasa,” kata beliau sambil mendakwa, “saya tahu DNA mereka.”

“Kalau saya dedahkan nanti, jadi berperang pula,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini.

“Jadi lebih baik cukup sampai di sini sahaja,” katanya ketika berucap pada program Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas di sini.

Tengku Adnan menjelaskan Umno tidak akan menyokong Ibrahim jika beliau bertanding semula sebagai calon Bebas di Pasir Mas.

Dalam surat terbukanya menjawab tuduhan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia terbitan Kumpulan Utusan Ahad lalu, Nazri berkata, beliau sentiasa tahu siapa ketuanya dan mahu Awang mengetahui bahawa “saya sentiasa tahu siapa ketua saya.”

“Ia bukan Kit Siang ataupun Anwar kerana mereka bukan Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi BN ataupun Presiden Umno. Saya tidak pasti sama ada Awang tahu siapa ketuanya kerana dia memperkecilkan dasar 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri dan mempromosikan perkauman sempit Ibrahim Ali yang sememangnya bukan ahli Umno.”

“Awang harus bertanya pada dirinya persoalan yang dia ajukan kepada saya,” kata Nazri.

Ibrahim juga berkata pemimpin parti politik tidak sepatutnya menyalahkan Perkasa sekiranya kehilangan undi kerana ia bukan parti politk, tetapi hanya sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

“Perkasa hanya NGO, bukan parti politik dan kita tidak akan menjadi sebuah parti politik.

“Kita tidak sokong mana-mana pihak, jadi jangan salahkan Perkasa kalau kehilangan sokongan orang Melayu kerana kita hanya menjalankan tanggungjawab mempertahankan hak orang Melayu sahaja,” katanya.

Program tersebut disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ibrahim juga berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC pula perlu menjalankan tugas untuk mengembalikan sokongan rakyat daripada menyalahkan Perkasa.

“Pemimpin MCA dan MIC patut jalankan tugas dengan baik, buat kerja elok-elok untuk dapatkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat.

“Kalau MCA dan MIC hilang undi orang Cina dan orang India bukan sebab Perkasa tetapi silap sendiri,” katanya.

Baru-baru ini pemimpin Umno-BN terlibat dalam perang kenyataan dengan Ibrahim berhubung kenyataan pemimpin-pemimpin perikatan itu bahawa BN tidak harus menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan itu kerana bimbang dasar perjuangannya boleh menghakis sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.M/I

+++++++++++++++++++

Nazri dan menteri UMNO sekarang baru bertemu buku dengan ruas. Selama ini mereka hero membantai lawan.

Syabash Dr. Mahathir!!! Anda politikus hebat.