Archive for the ‘Siapa mahukan Islam berkembang dan siapa mahukan Islam jadi statik’ Category

Bukan Islam memasuki masjid.

APA KATA UTUSAN MALYSIA.

Sultan Selangor murka

Oleh AZIAN AZIZ: pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 27 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan ‘tazkirah’ di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lalu.

Sehubungan itu, baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melakukan siasatan serta mengambil tindakan segera terhadap pengurusan surau yang terlibat.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, selepas siasatan dibuat, pihaknya membuat keputusan untuk mengambil alih Surau Al-Huda dan menguruskan pentadbiran surau itu serta-merta.

Ia kerana kata beliau, situasi berkenaan jelas bertentangan titah baginda yang mahu kesucian surau dan masjid dipelihara.

Selain itu, menurut Mohamad Adzib, MAIS juga akan mengeluarkan surat amaran kepada Nie Ching.

”MAIS telah memanggil pengurusan Surau Al-Huda hari ini untuk menjelaskan isu tersebut.

”Selepas meneliti penjelasan daripada pihak terbabit, MAIS mendapati bahawa ucapan oleh wakil rakyat itu di dalam dewan solat surau, berlaku seperti dilaporkan.

”MAIS memandang serius isu ini memandangkan ia adalah kes kedua seumpamanya yang membabitkan ahli politik dan orang bukan Islam memberikan ucapan di dalam masjid atau surau di Selangor,” kata beliau dalam kenyataan di sini petang ini.

Pada Ogos 2009, Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar, berucap dalam satu majlis berbuka puasa di dewan utama Masjid Taman Sri Andalas sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan Islam.

Sehubungan itu, Mohamad Adzib mengingatkan mana-mana wakil rakyat bukan Islam untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama serta menggesa supaya semua pihak termasuk parti politik agar lebih sensitif dengan perasaan umat Islam.

Mereka juga, kata beliau, hendaklah menjunjung titah perintah Sultan Selangor bagi menjaga kesucian institusi masjid dan surau di Selangor.

APA KATA DETIKDAILY

‘Teo di surau’: Akar umbi PAS tiada masalah

Abdul Rahim Sabri: Ogos 27, 10: 3:57pm

PAS Serdang berpendapat tiada masalah bagi seorang pemimpin bukan Islam menyampaikan ‘tazkirah’ dalam sebuah masjid atau surau kerana Islam merupakan sebuah agama yang bersifat anjal.

“Kita tidak ada masalah (dan) kita tidak mahu memanjangkan perkara ini,” kata ketua Pemuda PAS Serdang Mohd Adram Musa.

Sehubungan itu, menurut Mohd Adram lagi, isu ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki sebuah surau di Kajang dianggap kontroversi ekoran stigma masyarakat yang beranggapan “bahawa Islam itu untuk Melayu semata-mata”.

“Bila kaum Cina dan India menghampiri surau atau masjid, timbul satu perspektif yang tidak baik. Dalam konteks dakwah, kena ada fleksibiliti, khususnya di negeri Selangor.

“Kita perlu mengutamakan dakwah dan keharmonian antara kaum,” kata Mohd Adram yang juga ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Mohd Adram mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini berhubung tindakan surau Al-Huda di Kajang Sentral, Kajang yang mengundang Teo berucap di ruang solat surau berkenaan pada 22 Ogos lalu.

Akhbar milik Umno itu memetik Pengarah JAIS Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai berkata, perkara tersebut tidak harus berlaku kerana orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki masjid dan surau, apatah lagi ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Mohd Adram yang juga bendahari Pemuda PAS berkata, berkata pintu dakwah harus sentiasa terbuka kepada bukan Islam sebagai usaha menerangkan tentang kebaikan agama itu.

Menurutnya, ketika zaman Nabi Muhammad dahulu, orang bukan Islam juga dibenarkan masuk ke dalam masjid bagi mendapatkan penjelasan tentang Islam.

+++++++++++++

Pendeta membenarkan Sayyidina Umar memasuki gereja dan kita melarang memasuki masjid…Islam terhalang kerana otak yang beku.