Perlantikan SUK kerajaan negeri Selangor: Kuasa kerajaan negeri.

Pakar Undang-Undang Profesor Dr Aziz Bari menegaskan Putrajaya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menerima dan memberi perkenan kepada calon kerajaan negeri Selangor untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau berkata Undang-Undang Tubuh Negeri jelas menyebelahi kerajaan negeri dalam perlantikan jawatan itu.

“Kalau kita lihat pindaan yang dibuat oleh pentadbiran Tun Mahathir Mohamad tahun 1994, menimbangkan nasihat bermaksud menerima nasihat. Jadi undang-undang sebenar adalah sultan perlu menerima dan mendengar Menteri Besar,” katanya.

Aziz menjelaskan krisis hari ini berlaku ekoran kerakusan Umno-Barisan Nasional meminda Perlembagaan dan memperkasakan kedudukan Eksekutif dengan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan pengamatannya, Aziz berkata undang-undang jelas sekali memihak kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam isu ini.

“Samada pindaan yang dibuat itu tidak sah, ataupun kuasasultan yang menjadi pemutus. kedua-dua perkara ini tidak menguntungkan Umno. kalau melihat kepada pindaan itu, ia menunjukkan tan sri khalid adalah betul,” katanya.

Pakar perlembagaan ini menjelaskan Undang-Undang Tubuh Negeri telah meletakkan amalan yang sepatutnya dipatuhi oleh semua pihak berkenaan.

Artikel 52 (4) menegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri harus mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar Selangor. Ia tidak menyatakan individu berkenaan harus mengangkat sumpah di hadapan Sultan.

“Kuasa melantik semenangnya di tangan Sultan, tetapi Sultanperlu meneliti cadangan dari suruhanjaya berkenaan. Sebelum itu,Sultan harus mendengar nasihat menteri besar,” katanya.

“Kerajaan pusat tidak ada peranan atau kuasa. apa yang disebutkan oleh Datuk Khir Toyo mungkin apa yang berlaku di zaman Umno sahaja..yang mungkin formaliti sahaja. tetapi kalau berdasarkan perlembagaan, kerajaan persekutuan tidak mempunyai peranan,” katanya lagi.

Aziz juga menyokong gesaan supaya wakil-wakil rakyat Selangormengadakan sidang tergempar membantah campurtangan Kerajaan Pusat.

“Ya ia wajar kerana kalau kita lihat Parlimen meluluskan usulprihatin ke atas isu Sultan Johor pukul coach hoki. Jadi tidak adamasalah sekiranya sidang khas diadakan dan membincangkan situasi yang berlaku ini,” katanya lagi. – tvselangor.

++++++++++++

Sumber: http://www.detikdaily.net

Perlantikan SUK negeri Selangor.

APA KATA MALAYSIAN DIGEST (http://www.malaysiandigest.com)

Perlantikan SUK: Khalid sudah terlajak perahu…

by Rosli Ismail

Dalam mood bercuti dan santai hujung tahun dan nak masuk tahun baharu ini eloklah kita sama-sama macam kata orang putih sit back and relax …tengok bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat Selangor nak bersilat terhadap perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Ini kerana isu ini kini bukan sahaja melibatkan susur galur perkhidmatan awam tetapi kuasa baginda Sultan Selangor yang telah merestui perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu untuk menjadi ketua ekskutif bagi kakitangan kerajaan negeri.

Hairan, Tan Sri Khalid Ibrahim yang pernah pegang jawatan yang tinggi agensi kerajaan sebagai CEO Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak faham bagaimana peraturan perlantikan ini dibuat.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 adalah jelas dalam hal ini dan begitu juga kuasa Ketua Setiausaha Negara dan Sultan.

Satu dunia tahu Selangor tidak pernah ada entiti perkhidmatan awam yang autonomi sejak dari zaman negara ini merdeka dahulu.

Sejak itu semua perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara dengan restu baginda Sultan.

Mungkin Khalid perlu ambil kursus tunjuk ajar bagaimana nak mentabir negeri dalam bab ini.

Untuk tujuan itu beliau boleh bertanya khabar kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Khir Toyo yang ada di Shah Alam begitu juga Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Kalau segan dengan mereka Tan Sri Abu Hassan Omar pun ada.

Selama ini pun kita tidak pernah dengar cerita semua bekas Menteri Besar ini membantah keputusan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kata orang mungkin itu kerana selama ini Selangor diperintah oleh Barisan Nasional sehingga pilihanraya umum Mac 2008.

APA KATA AMALYSIA TODAY (http://www.malaysia-today.net)

Perlantikan SUK baru, Umno-BN sengaja cetuskan kontroversi

Friday, 31 December 2010 Super Admin

(Selangor Kini) – Penghapusan kekebalan Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 oleh Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN), sekali gus menolak tuduhan liar bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) sengaja mencetuskan kontroversi berhubung perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Umno-BN lebih awal meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 demi kepentingan politik mereka.

Menurut Khalid, sebelum ini perlantikan SUK perlu mendapat perkenan Sultan dan Menteri Besar namun sejak dilucutkan kuasa oleh Umno-BN, tiada lagi istilah perkenan Sultan dalam isu perlantikan tersebut.

“Tetapi menerusi isu menghapuskan kekebalan Sultan sejak 1993 oleh Umno, kuasa melantik SUK telah ‘dilupuskan’ daripada Sultan dan Menteri Besar. Sejak itu jelasnya, tiada lagi kuasa sultan dan Menteri Besar untuk melantik Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang selain SUK,” katanya.

Khalid berkata, demikian dalam ucapan ringkasnya di hadapan kira-kira 200 jemaah yang hadir pada satu majlis khas solat hajat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, semalam.

Jelas Khalid, bagaimanapun masih terdapat satu kuasa Menteri Besar, iaitu setiap SUK yang ingin memulakan tugas harus mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor atau GAPS, Hamizun Khairuddin menuduh Khalid cuba mempolitikkan pengurusan pentadbiran di negeri Selangor selepas bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS, Datuk Khusrin Munawi dilantik sebagai SUK negeri Selangor.

Hamizun juga dilihat seolah-olah menegakkan benang basah mengatakan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 masih memerlukan pekenan Sultan untuk perlantikan SUK seperti yang dilaporkan Agenda Daily hari ini.

++++++++++++++